Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi latihan, pengetahuan ternak udang kara

    Seorang usahawan penternakan udang kara air tawar menawarkan pengetahuannya dalam bidang itu kepada individu lain yang berminat menternak spesies itu demi mengembangkan lagi industri berkenaan di Malaysia.

    Muhammad Firdaus Osman, 40, berkata walaupun ramai pengusaha telah menternak udang kara air tawar atau nama sainstifiknya Cherax quadricarinatus, ia belum dapat memenuhi permintaan tinggi di pasaran tempatan.

    Menurut Muhammad Firdaus tanpa pengetahuan dan kaedah yang betul, penternak sukar mendapat saiz tumbesaran udang yang optimum untuk dipasarkan.

    “Bayangkan ada penternak di sebuah negeri mengambil masa 11 bulan untuk udangnya mencapai saiz yang boleh dipasarkan, bagaimana mereka nak dapat untung?

    “Malah, mereka mungkin akan mengalami kerugian disebabkan kos makanan dan lain-lain yang terpaksa dikeluarkan untuk tunggu sehingga udang cukup saiz sebelum boleh dipasarkan,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Muhammad Firdaus menunjukkan udang kara yang diternaknya. – Bernama
    Muhammad Firdaus menawarkan pengetahuannya dalam bidang itu kepada individu lain yang berminat demi mengembangkan lagi industri berkenaan di Malaysia. – Bernama

    Muhammad Firdaus yang mengusahakan penternakan udang kara ‘red claw’ iaitu spesies berasal dari Australia berkata masalah dihadapi penternak ialah benih udang yang tidak berkualiti selain sistem penternakan yang tidak sesuai sehingga menyebabkan tumbesaran udang lambat atau terbantut.

    Menyedari situasi itu mungkin dialami pengusaha lain, dia mengambil inisiatif untuk berkongsi benih udang yang dihasilkan di kolam ternakannya, selain menawarkan latihan serta kaedah ternakan baik untuk dipraktikkan.

    “Tujuan saya menawarkan semua ini adalah untuk berkongsi sedikit pengetahuan dalam industri ini kepada penternak lain khususnya yang baharu untuk bersama-sama terlibat seterusnya dapat mengembangkan industri ini dalam negara ini.

    “Dengan cara ini, kita dapat pastikan kualiti udang kara air tawar yang berada di pasaran sekali gus dapat menjamin harganya agar tidak jatuh disebabkan udang yang tidak berkualiti,” katanya.

    Muhammad Firdaus berkata sejak mula berkecimpung dalam penternakan udang air tawar tujuh tahun lepas, dia telah menghabiskan banyak masa melakukan ‘eksperimen’ sendiri selain dibantu kenalan di Australia untuk mempelajari tentang haiwan itu.

    Selain sifat udang kara itu yang sensitif dengan keadaan tertentu, katanya kualiti air kolam dan makanan selain penyakit turut mempengaruhi tumbesarannya.

    “Jadi saya sudah ada kaedah paling berkesan setakat ini untuk menternak udang kara ini, kami juga menghasilkan benih udang yang baik iaitu tumbesarannya boleh mencapai hingga empat inci dalam masa empat bulan,” katanya.

    Muhammad Firdaus yang merupakan pengasas dan pengarah urusan syarikat Arbaah Sdn Bhd yang mengusahakan ternakan udang kara di atas tanah seluas 4.6 hektar berkata setakat ini pihaknya telah membantu beberapa penternak di Kedah menerusi inisiatif itu.

    “Di sini kami ada sebuah kolam untuk penyelidikan, 15 kolam asuhan dan 37 kolam ‘grower’ dan kami menghasil antara dua hingga empat tan udang kara air tawar setiap bulan yang dipasarkan secara mentah atau perap,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda