Kongsi makanan menerusi tiktok wujud harmoni kaum

KUALA LUMPUR – Anda buntu untuk mencari makanan sedap di sekitar Lembah Klang? Cuba layari profil ‘Ceddy-CEO of Membebel’ di aplikasi TikTok. Pasti anda tidak akan kecewa. 

Perwatakan Ceddy begitu ceria, gaya yang bersahaja serta amat menghiburkan. Ini ditambah pula dengan cara tersendiri beliau memperkenalkan satu-satu jenis makanan menerusi videonya, yang membuat sesiapa sahaja yang menonton pasti berasa teruja dan membuak rasa untuk mencuba makanan itu. 

Menggunakan bahasa yang mudah difahami dan sekali-sekala diselitkan dengan lawak jenaka di samping menjaga sensitiviti antara kaum dalam setiap kandungan videonya, semuanya ini menjadikan Ceddy mempunyai ramai pengikut berbilang kaum. 

Akaun yang diberi nama ‘Ceddy-CEO of Membebel’ kini mempunyai sehingga 167.8 juta pengikut dalam aplikasi TikTok. 

Menurut Ceddy Ang, 33, (pemilik akaun Ceddy-CEO of Membebel), beliau mula menghasilkan kandungan video menerusi platform Twitch setelah bertugas sebagai pegawai pemasaran kepada beberapa agensi kreatif sejak lima tahun lalu. 

Beliau berjinak-jinak dalam menghasilkan kandungan serta membuat video ‘live’ diselang-seli dengan YouTube dan Twitch sebelum membuat keputusan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan lain daripada yang lain, dan tidak hanya mahu tertumpu kepada video sahaja.  

“Saya terfikir untuk mencuba platform TikTok hasil lanjutan video daripada akaun YouTube saya sebagai seorang ‘Lifestyle Vlogger’ serta berkongsi tempat serta restoran yang saya kunjungi dengan pengikut saya.

“Saya dapati kebanyakan video berkaitan dengan makanan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Sejak itu, saya buat keputusan untuk terus bertumpu kepada ‘Foodvlog’ sahaja dalam TikTok,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

‘Ceddy-CEO of Membebel’ kini mempunyai sehingga 167.8 juta pengikut dalam aplikasi TikTok. – Bernama
Selain itu terdapat dalam kalangan pengikut berbangsa Melayu turut meminta Ceddy untuk memperkenalkan makanan warisan Cina yang halal dan ini membuatkan beliau begitu bangga sebagai seorang pempengaruh makanan.
Ceddy turut mengambil kesempatan menggunakan platformnya untuk membantu golongan peniaga yang  terjejas akibat COVID-19 dengan mempromosikan produk mereka secara percuma bagi meringankan beban tanpa mengira kaum dan latar belakang.

 Makanan satukan ikatan perpaduan

Ceddy yang berasal dari Pulau Pinang berpendapat, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di Malaysia secara tidak langsung memangkin kepada perkembangan variasi jenis makanan yang mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

“Sesuatu yang membanggakan ialah cara kita menyediakan makanan dan mengekalkan identiti makanan ini agar tidak ada negara yang boleh mendakwa makanan kita ini adalah makanan mereka. Bayangkan kalau ini berlaku, mesti perang besar dalam media sosial.

“Sebagai pengulas makanan, saya bangga apabila melihat ramai tanpa mengira bangsa dan budaya bersedia untuk mencuba pelbagai jenis makanan,” katanya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Lebih menarik lagi, ada dalam kalangan pengikut berbangsa Melayu turut meminta Ceddy untuk memperkenalkan makanan warisan Cina yang halal dan ini membuatkan beliau begitu bangga sebagai seorang pempengaruh makanan.

Sebagai rakyat Malaysia, Ceddy berpendapat perlu mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum lebih-lebih lagi ketika menjelaskan tentang cara penyediaan makanan daripada pelbagai budaya dan kaum. 

“Sebagai contoh, saya akan melabelkan video saya dengan perkataan ‘Halal’ ataupun ‘Non-Halal’ kerana saya tidak mahu membazirkan masa rakan pengikut Muslim untuk mengenal pasti sendiri status makanan yang saya perkenalkan itu.

“Selain itu, ia juga akan menepis rasa ketidakselesaan rakan-rakan Muslim kerana jika saya sebut makanan itu adalah halal, maka mereka boleh mencubanya tanpa rasa waswas di restoran tersebut,” katanya. 

Menurut beliau, video penjelasannya berkenaan dengan status halal juga turut mendapat sambutan menggalakkan daripada-pengikutnya. 

“Saya tak pernah menjangka kandungan video saya akan menarik begitu ramai orang. Pada peringkat awal saya tak ambil kira sama ada makanan yang saya makan itu halal atau tidak tetapi setelah menerima begitu banyak komen sama ada makanan itu halal atau tidak, saya buat keputusan untuk lebih berhati-hati dengan kandungan video saya,” katanya.

 Bantu-membantu tanpa mengira kaum

Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya satu tamparan hebat buat kebanyakan industri dan sangat menguji daya tahanan fizikal serta mental masyarakat di negara ini. 

Banyak perniagaan terjejas, terpaksa menggulung tikar dan ramai juga kehi-langan pekerjaan menyebabkan ada dalam mereka bertukar arah untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. 

Sebagai seorang pempengaruh dan pencipta kandungan content creator, Ceddy turut mengambil kesempatan menggunakan platformnya untuk membantu golongan peniaga yang  terjejas dengan mempromosikan produk mereka secara percuma bagi meringankan beban tanpa mengira kaum dan latar belakang. 

“Dalam keadaan genting ini, semua orang memerlukan sokongan daripada satu sama lain. Saya bukan sahaja akan mempromosikan secara percuma malah saya akan mengajak pengikut saya untuk menyokong membeli produk mereka tatkala musim PKP ini.

“Saya pernah menguar-uarkan dalam Twitter untuk mencari makanan tertentu daripada peniaga kecil dan saya sanggup membeli daripada mereka serta mempromosikan makanan mereka dalam video saya di TikTok tanpa mengenakan bayaran,” katanya. 

Selain itu, beliau turut menggunakan platform TikTok untuk memberi kesedaran umum mengenai penjagaan kesihatan mental ketika PKP. 

“Sebagai penyokong kesihatan mental, saya turut mengajak pengikut saya untuk sekali-sekala keluar dari rumah menghirup udara segar bagi menghindari daripada terperuk dalam rumah terlalu lama, sekali gus menyebabkan apa yang dipanggil Demam Terperuk atau Cabin Fever,” katanya.

 Semangat perpaduan dalam media sosial

Bagi Ceddy, media sosial dapat menyemai semangat perpaduan dan keharmonian sesama penggunanya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan acara besar antarabangsa seperti Sukan Olimpik di samping permainan dalam talian. 

Menurut beliau, media sosial sering dibanjiri dengan pihak yang suka membuat tohmah tetapi semangat perpa-

duan juga terserlah semasa berlangsungnya Sukan Olimpik, bagaimana semua bersatu menyokong atlet negara dan bagaimana ramai juga mahu merebut kedudukan nombor satu dalam permainan Popcat.

“Kita juga melihat bagaimana ramai pengguna media sosial bumiputera yang bersatu dalam menekan seorang pengguna Twitter yang merujuk bukan bumiputera sebagai pendatang. Ini menunjukkan masa sudah berubah. Mentaliti kolot dan berbau perkauman semakin tak diterima.

“Bagaimanapun, kita masih perlu banyak masa untuk mengamalkan perpaduan dan harmoni dalam media sosial tetapi kita sudah ke arah itu. Ayuh kita kekalkan semangat Kita Jaga Kita dan tolak sebarang perbezaan, ” katanya.

Bagaimanapun, di samping sambutan menggalakkan daripada pengikutnya, tidak kurang juga ada yang memberi cacian dan tomahan terhadap video-video Ceddy di TikTok.

“Ada yang mempertikaikan suara saya yang agak ‘tajam’ dan sangat ‘ke-perempuanan’. Ada juga yang memberi-kan komen yang kurang menyenangkan. Kadang-kala saya membalas juga namun kebanyakan masa saya akan mengabaikanya. 

“Ramai yang berterima kasih kepada saya kerana menghasilkan kandungan yang dapat membantu mereka ketika dalam kesusahan dan saya berasa sangat bangga serta gembira kerana dapat membuat sesuatu dan berbakti kepada golongan memerlukan,” katanya. – Bernama