Kongsi maklumat berkaitan COVID-19 berpandukan APHDA, GIM

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Bagi pertukaran teknikal, perkongsian maklumat dan mengemaskinikan maklumat berkaitan dengan polisi langkah-langkah dalam bertindak balas terhadap COVID-19, Kerjasama Sektor Kesihatan ASEAN telah menggerakkan dan menjalankan mekanisme kesihatan yang sedia ada yang telah ditubuhkan dengan berpandukan Agenda Pembangunan Kesihatan Pasca 2015 (APHDA) dan Mekanisme Tadbir Urus dan Pelaksanaan (GIM).

Dalam kenyataan yang diterima, Sektor Kesihatan ASEAN telah menggunakan all hazards approach dalam pendekatan sistem kesihatan dan kerajaan menyeluruh bagi menangani ancaman COVID-19 dari segi keseluruhan spektrum persediaan, pengesanan, mitigasi dan sukat-sukat tindak balas melalui pelbagai platform kesihatan.

Semua negara anggota ASEAN melalui Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Pembangunan Kesihatan (SOMHD) dan SOMHD Plus Three mengesahkan komitmen mereka untuk meningkatkan lagi koordinasi dan kerjasama untuk mengawal penularan COVID-19.

Sejak China berkongsi maklumat pertama tentang penyakit tersebut, Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN bagi kecemasan kesihatan awam (ASEAN EOC Network), yang diketuai oleh Malaysia, dengan sokongan Sekretariat ASEAN telah berkongsi maklumat terkini mengenai situasi seharian.

Mereka juga memberi maklumat tentang langkah-langkah pencegahan, pengesanan dan tindak balas kepada pihak SOMHD ASEAN serta China, Jepun dan Republik Korea (negara Plus Three), dan juga kepada focal points ASEAN EOC Network dan Rangkaian Latihan Bidang Epidemiologi ASEAN Plus Three (ASEAN+3 FETN), di samping perkongsian maklumat melalui mesej online dalam ASEAN EOC Network yang terdiri daripada pegawai-pegawai pencegahan dan kawalan penyakit negara anggota ASEAN.

ASEAN BioDioaspora Regional Virtual Centre (ABVC) melengkapi penilaian risiko setiap negara, persediaan dan usaha perancangan tindak balas.

ABVC, yang diketuai oleh Filipina, baru-baru ini mengeluarkan laporan mengenai Penilaian Risiko COVID-19.

Laporan tersebut menyediakan gambaran keseluruhan situasi peringkat global; profil risiko untuk potensi penyebaran virus di rantau ASEAN berdasarkan data penerbangan; dan keperluan untuk langkah-langkah pengurangan terhadap pengimportan virus di tempat-tempat masuk dan keluar negara.

Inisiatif yang dijalankan oleh ASEAN EOC Network dan ABVC adalah sebahagian daripada Program Pengukuhan Ancaman Biologi Fasa 2 yang dilaksanakan dengan kerjasama Program Pengurangan Ancaman Senjata Kanada, sebelum ini dikenali sebagai Program Perkongsian Global.