Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB), hari ini, telah mengadakan sesi taklimat bersama ibu bapa dan penjaga baharu dan lama TASKA bagi mengongsikan maklumat mengenai kemasukan anak-anak mereka ke taman asuhan tersebut pada sesi persekolahan tahun depan.
Antara yang diterangkan dalam taklimat itu adalah pentadbiran, akademik dan kokurikulum yang disampaikan oleh guru-guru kanan TASKA.
Turut hadir ialah Pemangku Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab yang memberikan keyakinan kepada para ibu bapa bahawa pihak TASKA akan memberikan pembelajaran, melalui pendekatan pembangunan holistik yang merangkumi aspek-aspek fizikal, emosi, sosial, intelektual dan rohani. Kepentingan pendekatan holistik melihat bahawa kanak-kanak belajar perkara yang berbeza pada tahap yang berbeza seperti misalah berjalan, bercakap, kemahiran motor halus dan lain-lain.
“Perkembangan holistik adalah pembangunan keseluruhan semua bidang termasuk bidang akademik seperti asas menulis dan membaca iaitu numerasi dan literasi serta nilai-nilai keislaman yang diharap akan membantu mereka untuk menghadapi alam persekolahan berbeza dengan keadaan yang mereka alami di TASKA,” jelas Datin Hajah Zainab.
Dalam ucapannya pada sesi berkenaan, beliau juga menyentuh mengenai pemantauan peningkatan pencapaian murid-murid, yang mana penilaian dibuat secara berterusan dan ia berbeza dengan penilaian yang biasa dipraktikkan di peringkat sekolah formal. “Ini memandangkan peringkat umur murid-murid dan juga mengikut amalan terbaik pendidikan awal kanak-kanak antarabangsa.
“Penilaian yang dibuat di TASKA adalah berbentuk pemerhatian, interaksi perseorangan secara lisan dan penilaian bertulis tidak formal,” tambahnya.
Selain mengetahui pemantauan prestasi anak, para ibu bapa dan penjaga turut diberi penjelasan lanjut mengenai keselamatan, sistem pembelajaran sekolah, aktiviti dan pembelajaran akademik termasuk Bahasa Arab.
Pada akhir sesi tersebut, para ibu bapa penjaga diberi peluang mengemukakan soalan terutamanya mengenai orientasi yang akan bermula pada 7 Januari dalam sesi soal jawab.