Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2025, Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Etnografi telah melancarkan Pameran Jejak Waktu: Kisah Dari Artifak dalam satu majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Muzium Teknologi Melayu, Jalan Kota Batu, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan majlis pelancaran ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, yang menekankan kepentingan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah dalam koleksi peribadi, di samping memupuk rasa tanggungjawab untuk terus memelihara warisan negara agar dapat dikongsi dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Beliau berkata pameran yang bermula pada 19 Mei itu menampilkan penyertaan tujuh kolektor individu tempatan yang telah dijemput khas untuk berkongsi koleksi peribadi masing-masing. Setiap peserta mempamerkan artifak yang berbeza mengikut tema koleksi mereka, merangkumi pelbagai aspek sejarah dan budaya Brunei.
Penganjuran pameran itu bertujuan mengetengahkan peranan aktif para kolektor dalam memelihara artifak bernilai tinggi sebagai satu bentuk penghargaan terhadap usaha mereka memelihara identiti serta warisan negara.
Selaras dengan tema rasmi Hari Muzium Antarabangsa tahun ini iaitu Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Dengan Pesat, pameran berkenaan diharap meningkatkan kesedaran awam tentang nilai sejarah koleksi peribadi
Hari Muzium Antarabangsa disambut setiap tahun pada 18 Mei di seluruh dunia sebagai pengiktirafan terhadap peranan institusi muzium dalam melindungi dan mempromosikan warisan budaya serta memperkukuh hubungan antara muzium dan masyarakat.
Pameran Jejak Waktu akan dibuka kepada orang ramai selama tiga bulan di Muzium Teknologi Melayu. Beberapa aktiviti sampingan turut dijadualkan sepanjang tempoh pameran, antaranya Forum Bicara Budaya dan Program Muziumku Warisanku.
Forum Bicara Budaya yang akan berlangsung pada 29 Mei memberikan platform kepada para kolektor untuk berkongsi pengalaman mereka, di samping pembentangan oleh wakil dari Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan, Jabatan Muzium-muzium mengenai usaha-usaha pemeliharaan dan pemulihan bahan artifak.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi luar negara di Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Lembaga Muzium, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-muzium.