Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS- Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan Sesi Permuzakarahan dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah islamiah, Kampung Pulaie, pagi tadi.
Dalam ucapan alu-aluan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menghargai inisiatif-inisiatif oleh ahli-ahli MMN untuk turun padang bermuzakarah dengan pihak-pihak berkepentingan lebih-lebih lagi dengan para penduduk di bawah jagaan masing-masing bertujuan untuk mengenal pasti isu yang dihadapi.
Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai sistem integrasi sekolah agama yang akan terus diperkembangkan melalui sistem integrasi mata pelajaran agama ke dalam sistem persekolahan umum.
Sesi permuzakarahan itu diikuti dengan ucapan balas daripada ketua rombongan MMN, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan di mana beliau menyambut baik sesi permuzakarahan sebagai platform untuk berkongsi pandangan dan saranan dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan KHEU dan seterusnya beroleh penyelesaian yang bermanfaat.
Acara diteruskan dengan taklimat mengenai KHEU yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim. Beliau menyambut baik inisiatif ahli-ahli MMN dilantik yang telah mengadakan lawatan kerja di beberapa buah jabatan di bawah KHEU.
Taklimat juga mengongsikan mengenai kejayaan dalam pembelajaran dan pengajaran Al-Quran secara menyeluruh di peringkat kanak-kanak, kebangsaan dan antarabangsa menerusi pendekatan Whole of Nation serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan bagi menjayakan sistem integrasi mata pelajaran ugama ke dalam sistem persekolahan umum.
Sesi permuzakarahan telah memfokuskan kepada empat pembentangan isu-isu strategik iaitu peluang-peluang pekerjaan untuk lepasan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); isu kebersihan tandas dan tempat wuduk masjid; projek penurunan kes jenayah syariah yang menumpu pada kesalahan-kesalahan seksual (perbuatan zina); dan cadangan strategi perhubungan awam untuk mempertingkatkan pemahaman awam terhadap perkhidmatan agama di Negara Brunei Darussalam.
Sesi permuzakarahan merupakan acara tahunan bertujuan mengukuhkan hubungan kerja KHEU dengan ahli-ahli MMN dalam sama-sama menyumbang ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara ini khususnya mengenai perkhidmatan ugama agar terus berkembang maju selain menjadi wadah untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu berbangkit dan menambah baik cara pelaksanaan perkhidmatan agama di Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, ahli-ahli MMN berpeluang menyaksikan pameran mengenai perkhidmatan agama dikendalikan oleh jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawah KHEU.
Hadir sama di sesi tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di bawah KHEU.