Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Beberapa orang pelajar cemerlang Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) telah berpeluang berkongsi pengalaman sepanjang melanjutkan pengajian di kolej berkenaan semasa ditemui pada Majlis Konvokesyen LCB 2023 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Bagi Dayangku Nur Amirah Mahirah binti Pengiran Yura Hassim yang mendapat Kepujian Kelas Pertama dalam BA Perakaunan dan Kewangan, menyambung pengajian di LCB merupakan keputusan yang terbaik bagi pendidikannya dan perkembangan dirinya.
Para pensyarah di LCB, menurut beliau, sungguh membantu dalam merealisasikan impian mereka di mana bukan sahaja mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, malah juga mudah untuk didekati serta mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam meningkatkan keselesaan suasana pembelajaran di LCB.
Pada masa yang sama, beliau juga mengalu-alukan para pelajar baharu yang berminat untuk memasuki LCB bagi meneruskan niat yang baik memandangkan kolej tersebut mempunyai barisan pensyarah terbaik di samping suasana pembelajaran kelas yang cukup selesa.
Menyentuh mengenai kunci kejayaannya, Dayangku Nur Amirah Mahirah menekankan bahawa pengurusan masa adalah satu perkara yang penting untuk diberikan perhatian di sepanjang waktu pembelajaran serta kepentingan menempatkan diri bersama orang-orang yang baik yang dapat membantu memajukan diri.

Sementara itu, seorang lagi pelajar terbaik dalam BTEC Level 3 Diploma dalam Perniagaan ialah Dayang Nurul Janah binti Haji Asri, berasa cukup teruja dan senang sekali meneruskan pengajian di LCB sejak September 2021 setelah meninggalkan pengajian selama 10 tahun.
“Pada mulanya saya berasa sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa iaitu menyambung pembelajaran dan menjalankan tanggungjawab kepada keluarga memandangkan saya juga mempunyai tiga orang anak yang masih kecil.
“Namun Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di sini dengan kesungguhan dan bantuan para pensyarah di LCB. Insya-Allah saya akan meneruskan pembelajaran saya di peringkat sarjana muda lagi selepas ini,” kongsi beliau.
Pelajar terbaik bagi City and Guilds Level 3 Diploma Lanjutan dalam Seni Kulinari dan Penyeliaan, Alyssa Thieng Xiang Yun pula berpendapat, perjalanan sebagai pelajar seni masakan adalah luar biasa.
Selain daripada mempelajari modul yang ada, mereka juga diberikan peluang untuk menjalankan acara dengan sepasukan rakan sekerja.

