Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Bersempena musim cuti persekolahan dan Festival Disember Brunei, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong, Persatuan Motosikal Temburong dan Temburong Pedallers dengan Kerjasama Jabatan Daerah Temburong telah mengadakan Program Ke Temburong Bisai (KTB) Edisi Borneo Bike Gathering, dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong petang tadi.
Program KTB Edisi Borneo Bike Gathering merupakan acara kemuncak program KTB bagi tahun 2024. Edisi kali ini memfokuskan kepada peminat-peminat motosikal dan basikal dari Negara Brunei Darussalam dan kepulauan Borneo berkumpul dan berkongsi kemahiran dan pengalaman mengenai motosikal dan basikal di samping aktiviti yang akan ditawarkan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang seterusnya menyaksikan pameran dan jualan sekitar acara program dijalankan.
Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengerusi Bersama Program KTB Edisi Borneo Bike Gathering, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir; dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Antara objektif program diadakan adalah untuk menarik pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negara, memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha majlis perundingan kampung serta pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana dan untuk menyediakan ruang dan platform bagi peminat-peminat motosikal dan basikal untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam berbasikal dan bermotosikal.
Program ini berlangsung selama empat hari bermula pada 12 hingga 15 Disember dari jam 8 pagi di sekitar Pekan Bangar.