Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi pengalaman hidup di Jepun

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Dengan hasrat untuk memberikan pengenalan dan berkongsi pengalaman mengenai kehidupan serta pengajian di Jepun, tiga orang bekas penerima Biasiswa MEXT Kerajaan Jepun mengongsi pengalaman, pengajian dan kehidupan mereka di Jepun menerusi sesi perkongsian yang berlangsung di Inspiring Hall, Pusat Pelajar, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Hadir semasa sesi perkongsian berkenaan ialah Setiausaha Pertama di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Rie Arai Sakumoto; Timbalan Pengarah OARA, Lim Kok Shien; Pengurus Kerjaya CoNECT, Gavin Crewe; Naib Presiden Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Dr Fadil Galawat dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Pendidikan) BAJA, Awang Mohammad Raymie bin Haji Othman.

    Turut hadir semasa sesi perkongsian berkenaan ialah mahasiswa-mahasiswi daripada UBD dan beberapa orang pegawai dari sektor kerajaan.

    Sesi perkongsian itu mengetengahkan tiga orang bekas penerima biasiswa MEXT iaitu Dr Li Ling Chaw yang menamatkan pengajian Program Doktor Sains Perubatan di Universiti Tohoku pada 2016, Naif Yusoff yang menamatkan pengajian dalam Program Ijazah Pengajian Asia Pasifik di Universiti Ritsumeikan Asia Pasifik dan Teo Siang Hoe yang menuntut di Sekolah Tinggi Komersial Onomichi.

    Sesi perkongsian itu dianjurkan dan dihoskan oleh Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni (OARA) dan Pusat Rangkaian, Pekerjaan dan Latihan Kerjaya (CoNECT), UBD.

    Salah seorang bekas penerima Biasiswa MEXT mengongsikan pengalamannya ketika berada di Jepun.
    Salah seorang bekas penerima Biasiswa MEXT mengongsikan pengalamannya ketika berada di Jepun.
    Di antara yang menghadiri sesi perkongsian berkenaan.
    Di antara yang menghadiri sesi perkongsian berkenaan.
    Bekas penerima Biasiswa MEXT mengongsi pengalaman dan kehidupan mereka semasa mengikuti pengajian di Jepun.
    Bekas penerima Biasiswa MEXT mengongsi pengalaman dan kehidupan mereka semasa mengikuti pengajian di Jepun.

    Sesi perkongsian dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai Biasiswa MEXT oleh Rie Arai Sakumoto yang menerangkan mengenai empat jenis program biasiswa MEXT yang ditawarkan iaitu bagi pelajar penyelidikan, pelajar sarjana muda, pelajar kolej latihan khusus dan pelajar kolej teknologi.

    Beliau menerangkan bahawa mereka yang berminat untuk memohon biasiswa bagi pelajar penyelidikan, mereka dikehendaki menghantar permohonan di antara 1 hingga 30 Mei, manakala itu, bagi jenis-jenis biasiswa yang lain, mereka perlu menghantar permohonan yang lengkap di antara 1 hingga 30 Jun.

    Beliau turut menerangkan mengenai prosedur dan langkah-langkah yang perlu dibuat oleh pelajar yang berminat untuk memohon bagi mendapatkan biasiswa berkenaan.

    Rie juga berkongsi harapan supaya biasiswa itu akan menjadi jambatan penghubung untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara Brunei dan Jepun serta mempromosikan kesefahaman dari segi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat kedua-dua buah negara.

    Majlis diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh ketiga-tiga orang bekas penerima Biasiswa MEXT di mana mereka menceritakan mengenai cabaran dalam gaya hidup semasa berada di Jepun iaitu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan makanan halal serta perbezaan budaya yang dialami sepanjang berada di Jepun.

    Semasa sesi perkongsian itu, BAJA turut mengongsi beberapa nasihat kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penyelidikan dalam bahasa asing serta konteks pengajian.

    Program biasiswa kerajaan Jepun merupakan program biasiswa yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) kepada pelajar-pelajar Brunei yang berminat untuk menuntut di institusi-institusi pendidikan di Jepun yang mana program biasiswa itu mula ditawarkan kepada pelajar-pelajar Brunei sejak 1984.

    Biasiswa kerajaan Jepun kini dibuka permohonannya kepada pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda