Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Seramai 12 orang pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah berlepas ke Singapura bagi mengikuti Program Sekolah Berkembar (STP) yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 4 Ogos nanti.
Mengetuai rombongan ialah Pegawai Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, PTET, Awang Azrin bin Haji Bolhassan yang juga turut disertai dengan dua orang guru.
Para pelajar yang menyertai program itu nanti akan berkunjung ke Tampines Junior College di mana mereka akan berpeluang untuk berkongsi idea dan pengalaman mengenai sistem pendidikan di antara kedua-dua buah Negara.
Di samping itu juga, STP ini bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan di antara PTET dan Tampines Junior College.
Bagi PTET, ini merupakan kali kedua dan terakhir mereka akan berkunjung ke Tampines Junior College dan akan menjadi hos bagi STP pada tahun depan bagi tahun 2015-2018.
Salah seorang peserta STP, Awang ‘Ammar Syahmi bin Alim semasa ditemui menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama beliau menyertai program berkenaan.
Melalui program ini, beliau berharap akan dapat berkongsi maklumat dan juga pengalaman dalam hal ehwal pendidikan, di samping memperluaskan pendidikan bagi keperluan masa depan.
Program tersebut adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan kedua-dua buah negara yang dijalankan sejak tahun 2006. Ia merangkumi pertukaran pelajar, guru-guru dan pentadbiran sekolah dari kedua-dua buah Negara.
Setakat ini, tujuh buah sekolah tempatan digabungkan bersama tujuh buah sekolah dari Singapura selama empat tahun yang mana setiap sekolah yang digabungkan dijangka menamatkan program bertukar-tukar lawatan dan menjadi hos kepada rakan sekolah.