JAKARTA, 26 Feb – Malaysia perlu menjejaki pengalaman daripada Indonesia yang dilihat lebih berjaya dalam mewujudkan bangsa Indonesia yang bersatu, menerusi penyatuan bangsa berlandaskan prinsip Pancasila.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata sekalipun Malaysia mempunyai prinsip yang sama seperti Pancasila iaitu Rukun Negara, pembinaan bangsa Indonesia dilihat lebih ke depan berbanding Malaysia.
“Justeru, pemahaman terhadap pengukuhan prinsip Rukun Negara perlu diperkemaskan lagi bagi mewujudkan jati bangsa Malaysia yang lebih kuat kerana kita ketika ini dipisahkan dan dibeza-bezakan dalam pelbagai aspek,” katanya.
Beliau bersama Timbalannya Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman yang dalam lawatan kerja ke Indonesia, mengadakan pertemuan dengan Ketua Unit Kerja Presiden Pembinaan Ideologi Pancasila (UKP-PIP) Yudi Latif di sini, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah bekas Timbalan Presiden Indonesia ke-6 yang kini Anggota Dewan Pengarah UKP-PIP, Try Sutrisno.
Abdul Aziz berkata sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia dilihat kini lebih memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur, namun pembangunan bangsa Malaysia dilihat tidak diberikan penekanan sehinggalah diwujudkan prinsip Rukun Negara pada tahun 1970 selepas berlakunya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Beliau berkata Mubarak merancang untuk menganjurkan seminar ‘Pancasila, Rukun Negara, Patriotisme Malaysia dan Indonesia” pada September ini melibatkan penyertaan generasi muda, pelajar Malaysia dan Indonesia serta penglibatan kepimpinan kedua-dua negara.
“Program sedemikian juga kita telah laksanakan sebelum ini melibatkan pelajar Malaysia dan Indonesia di Yogjakarta, selain itu kami juga menganjurkan wacana ‘Raja, Perlembagaan, Patriotisme’ berlandaskan prinsip Rukun Negara, dan program itu akan kita kembangkan ke sekolah-sekolah nanti,” katanya.
Sementara itu Yudi Latif berkata penyatuan bangsa Indonesia berdasarkan prinsip Pancasila tersebut lebih menjurus kepada soal penggunaan Bahasa Indonesia dan pendidikan.
“Asasnya, rakyat Indonesia itu disatukan menerusi Bahasa Indonesia,” katanya. – Bernama