Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Seorang pemain dram terkenal dari kumpulan Search, Yazid (Yazit) bersama Joe Burnmark telah berkongsi tip dan pengalaman sejak menjadi artis semasa sesi taklimat mengenai persembahan dan cara menggunakan dram apabila berada di atas pentas yang dikendalikan oleh Chorz Music Production, Tanjung Bunut, di sini, baru-baru ini.
Taklimat berkenaan juga bertujuan untuk memberikan ilmu mendalam mengenai industri muzik di samping memberikan tip dan nasihat dalam menangani pelbagai cabaran apabila mengusahakan industri tersebut.
Pemilik Chorz Music Production, Awang Mohd Jamarshahreen bin Haji Mohd Jaffar telah menyatakan perasaan terharu, gembira dan beruntung apabila dapat menimba ilmu dan mendengarkan pengalaman daripada pemain dram yang berpengalaman itu.
“Kedatangan pemain dram yang tidak asing, Yazit ke negara ini tidak akan berhasil jika tiada sokongan pihak penganjur iaitu Kua Kua Production dan Jasura Entertainment yang menaja kedatangan mereka ke sini,” jelasnya lagi.
Selain sesi taklimat, para peserta yang terdiri dari penggiat seni tempatan juga berpeluang berbual dan belajar cara menggunakan alat muzik ketika di atas pentas dan seterusnya beramah mesra bersama peminat sambil bergambar dan bertukar-tukar pandangan mengenai muzik tanah air.
Yazit juga berharap industri muzik di negara ini akan berkembang maju dan menasihatkan agar pemuzik-pemuzik tempatan akan menjadi pemuzik yang berdisiplin, bertanggungjawab dan beliau juga berharap diberikan peluang untuk bersua lagi bersama peminatnya di negara ini.
Sepanjang berada di negara ini Yazit mengadakan perjalanan singkat bertemu peminat di ketiga-tiga daerah di Maseyaze Mussical Jamming Studio (Tutong) dan Melodia 7 Piece Studio (Kuala Belait) dan Chorz Musik Production (Tanjung Bunut).
Sejurus selepas taklimat tersebut sesi bermain muzik (jamming) juga diadakan bersama kumpulan tempatan, Madness.