Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, baru-baru ini, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Belia Komanwel ke-10 (10CYMM) dan Mesyuarat Pemimpin Belia Komanwel di London, United Kingdom (UK).
Semasa mesyuarat bertema Aiming Higher: Delivering More for Young People in the Commonwealth itu, Yang Berhormat Dato telah berkongsi pengalaman dan amalan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan serta memperkasa golongan belia dan memastikan suara belia turut diambil kira di peringkat kebangsaan.
Antara lain, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa penglibatan belia dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai platform seperti Kaji Selidik Belia Kebangsaan, Dialog Belia, Dialog Awam Belia dan Kongres Belia Kebangsaan yang membolehkan dan menggalakkan dialog antara penggubal dasar dan belia mengenai isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal belia.
Penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan dan kerja kemasyarakatan juga diberikan kepentingan yang sama dalam memupuk pertumbuhan peribadi dan membina komuniti yang lebih kukuh, lebih inklusif dan bertanggungjawab dari segi sosial.
Menurut Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), turut hadir semasa mesyuarat pada 11 hingga 15 September lalu itu ialah Setiausaha Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Patricia Scotland KC.
Dipengerusikan oleh Menteri Luar Kerajaan Pakistan, Tuan Yang Terutama Jalil Abbas Jilani, mesyuarat memberikan peluang kepada para menteri dan pihak berkepentingan untuk menyemak agenda dasar dan keutamaan yang dipersetujui oleh ketua-ketua kerajaan semasa mesyuarat di Rwanda pada Jun 2022.
Di samping itu, ia juga untuk membincangkan isu pembangunan belia, cabaran dan peluang dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 dan dasar belia di seluruh negara ahli Komanwel serta untuk bersetuju dengan rangka tindakan dan inisiatif yang diselaraskan bagi menetapkan semula agenda pembangunan belia dengan mengambil peluang tahun 2023 sebagai Commonwealth Year of Youth.
Semasa mesyuarat tersebut, para menteri Komanwel yang bertanggungjawab ke atas belia mengeluarkan Kenya-taan Bersama bagi Mesyuarat Menteri Belia Komanwel ke-10 dan bersetuju mengenai penubuhan Marlborough House Commitment bagi pembangunan belia.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyertai negara anggota Komanwel yang lain dan wakil peringkat tertinggi, dalam menghadiri Program Ulang Tahun ke-50 Belia Komanwel dan Majlis Anugerah Belia Komanwel di Istana St James dan turut berangkat ke majlis tersebut ialah His Royal Highness Prince Edward, Duke of Edinburgh.
Mengiringi Yang Berhormat Dato ialah Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi; pegawai-pegawai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam dan dua delegasi belia negara yang telah dilantik selaku Commonwealth Youth Council bagi Negara Brunei Darussalam.