Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi pengalaman sebagai persiapan menuntut di Korea

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Bagi mempersiapkan diri mahasiswa-mahasiswi dalam menjalani Program Discovery Year mereka di Korea, Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sesi orientasi bertempat di bangunan Kedutaan Republik Korea, di Bandar Seri Begawan.

    Di sesi orientasi tersebut, dua orang mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang baru pulang dari Korea selepas menjalani program tersebut di Korea telah dijemput untuk mengongsikan pengalaman-pengalaman serta tip persediaan mereka ketika berada di Korea.

    Selain itu, mahasiswa-mahasiswi juga diberikan garis panduan; tempat-tempat makanan yang halal, Bahasa Korea yang selalu digunakan, tempat-tempat menarik untuk dikunjungi serta pelbagai lagi untuk mereka mempersiapkan diri sebelum menjalani program berkenaan selama satu atau dua semester.

    Dayang Nur Lileeyani binti Mohammad Ramle yang merupakan salah seorang mahasiswi yang bakal menjalani program tersebut ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa taklimat yang diberikan dalam sesi orientasi itu adalah amat berguna buat mereka memandangkan ianya merupakan kali pertama mereka berkunjung ke Korea.

    “Mereka juga memberikan saranan yang baik dan mengajar kami bagaimana untuk menjalani kehidupan di Korea,” jelasnya.

    Sesi bergambar ramai bersama pelajar yang akan menyertai Program Discovery Year di Korea.

    Seorang lagi mahasiswa yang sempat ditemu bual sejurus selepas sesi orientasi tersebut diadakan, Liaw Kian Siong, adalah merupakan salah seorang mahasiswa UBD yang mengambil jurusan Sarjana Muda Sain (Kimia) yang akan menjalani program tersebut di Korea.

    Jelasnya beliau memutuskan untuk memilih Korea sebagai tempat untuk menjalani program berkenaan memandangkan rasa minat beliau terhadap budaya di negara itu, selain negara itu sangat terkenal dengan sains dan teknologi mereka.

    Manakala itu, Hannah Thien Yih En yang mengongsikan pengalaman serta tip mereka kepada mahasiswa-mahasiswi yang lain telah mengongsikan kepada Media Permata bahawa beliau merupakan salah seorang pelajar pertukaran di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) bermula dari Ogos 2015 hingga Jun 2016.

    “Berpeluang belajar di Korea telah memperluaskan lagi pengetahuan dan pemikiran saya kerana perbezaan bahasa dan budaya. Ia adalah satu pengalaman hebat dan ia membantu saya menjadi lebih yakin dalam mempelajari Bahasa Korea ke tahap yang lebih tinggi di UBD,” jelas Hannah lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda