Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi pengetahuan bagi percepat transformasi digital

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Usaha Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam dalam memajukan transformasi digital yang menumpukan kepada pembangunan bakat digital serta penyelarasan sistem pendidikan dengan trend global telah dikongsi oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dalam ucaptama semasa Sidang Kemuncak Bakat Digital Asia Pasifik 2024 yang berlangsung di Nanning, Republik Rakyat China, kelmarin.

    Berdasarkan kepada tema sidang kemuncak, Komitmen kepada Pemerkasaan Belia untuk Masa Depan, Dr Haji Azman menekankan usaha utama oleh sektor pendidikan yang menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang bertujuan mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran serta memupuk kepimpinan dalam ekonomi digital.

    Beliau turut menekankan kepentingan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan di Asia-Pasifik, melalui perkongsian amalan terbaik, penyelesaian inovatif serta pengajaran yang dipelajari, yang boleh mempercepatkan kemajuan di rantau ini.

    Di samping itu, ulasnya, penubuhan platform aktif untuk kerjasama antara institusi akademik, rakan kongsi industri dan kerajaan di seluruh rantau ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan digital rantau tetapi juga memastikan usaha kolektif dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran digital yang boleh memacu pertumbuhan mampan di Asia-Pasifik.

    Sidang kemuncak 2024 telah dianjurkan oleh Huawei dengan kerjasama ASEAN Foundation dan SEAMEO di mana ia menandakan permulaan bagi satu inisiatif yang menghimpunkan lebih daripada 140 orang belia terpilih dari rantau ini untuk sesi lawatan selama seminggu di China, bagi meningkatkan pengetahuan mengenai China, pembelajaran digital serta teknologi utama masa kini.

    Acara itu mengumpulkan penggubal dasar, pemimpin industri dan ahli akademik untuk meraikan para peserta serta menekankan kepentingan membangunkan bakat muda bagi membuka potensi digital di rantau ini.

    Dr Haji Azman telah diiringi oleh pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan Universiti Teknologi Brunei pada sidang berkenaan.

    Dr Haji Azman bergambar ramai bersama pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Universiti Teknologi Brunei semasa menghadiri sidang kemuncak berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda