Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dalam usaha untuk menyebarluaskan fungsi dan peranan balai di Kampong Ayer selain meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingannya pada waktu dulu, Pusat Sejarah Brunei telah mengadakan Bicara Sejarah: Fungsi dan Peranan Balai di Kampong Ayer, hari ini.
Bicara Sejarah yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei itu dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi bin Haji Wahsalfelah selaku tetamu kehormat majlis.
Dalam program berkenaan, pembentangan disampaikan oleh Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail daripada Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial serta Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Institusi Pendidikan Balai Negara Brunei Darussalam (1852-1956): Penelitian Dari Sudut Sejarah dan MIB’.
Kemudian, pembentangan bertajuk ‘Kampong Ayer: Pusat Pembelajaran Agama Islam Zaman Tradisi Brunei Abad ke-13 Hingga Awal Abad ke-19’ disampaikan oleh Penolong
Kanan Profesor di APB, Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar yang juga pengarah APB.
Selain itu, pembentangan Pameran Tokoh-Tokoh Agama pada Abad ke-20 dan Balai-Balai di Kampong Ayer turut memeriahkan lagi program berkenaan.
Program berkenaan merupakan satu usaha Pusat Sejarah Brunei untuk mendekatkan sejarah kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini terutama belia dan generasi muda.
