Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi perkembangan pendidikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menyentuh mengenai Pelan Strategik Kementerian Pendidikan yang baharu (2023-2027) dan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan dalam mendukung dan merealisasikan visi serta misi Kementerian Pendidikan.

    Visi dan misi berkenaan adalah bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti dan holistik untuk kehidupan pelajar yang bermatlamat bagi mencapai visi pendidikan berkualiti, negara progresif, tambahnya dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Per-sidangan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong, kelmarin.

    Sesi muzakarah berkenaan telah dihadiri oleh seramai 17 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Datin telah mengongsikan beberapa inisiatif dan usaha kementerian iaitu meningkatkan kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pelajar di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi melalui program-program yang dikendalikan oleh Pusat Kerjasama Alam Sekitar, Sains dan Teknologi (Pusat STEP) dan pembinaan Standard Literasi Digital yang disediakan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum bagi meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan pelajar dengan trend teknologi masa kini.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa Sesi Muzakarah antara Kementerian Pendidikan bersama ahli-ahli MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    Yang Berhormat Dr Haji Mahali menyampaikan ucapan balas semasa sesi muzakarah berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Dalam penyediaan Rangka Kerja Kurikulum Khas, beliau menyatakan ia adalah bagi penubuhan sekolah khas swasta pertama untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas tahap tinggi iaitu PL4 dan PL5 yang dijangka akan mula beroperasi pada awal 2024.

    Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dilaksanakan melalui program dan latihan untuk melengkapkan para tenaga kerja di Kementerian Pendidikan dengan latihan-latihan profesional yang terbaik dan terkini, menjalin hubungan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Manpower Industry Steering Committee for Energy (MISC Energy), Manpower Planning Employment Council (MPEC), Kementerian Kesihatan, JobCentre Brunei (JCB) serta pakar-pakar industri untuk menyediakan latihan penempatan kerja supaya para pelajar terdedah kepada pekerjaan, selaras dengan jurusan masing-masing.

    Beliau turut mengongsikan mengenai penyediaan kemudahan dan infrastruktur dalam usaha untuk menaik taraf dan menambah bangunan sekolah-sekolah rendah dan institusi pengajian tinggi yang telah usang serta tidak mampu menampung keramaian pelajar.

    Yang Berhormat Datin juga menyentuh mengenai penglibatan secara berterusan ahli-ahli MMN, para ibu bapa dan penjaga serta masyarakat, yang amat diperlukan dalam
    mendukung dan merealisasikan visi dan misi Kementerian Pendidikan bagi mencapai visi pendidikan berkualiti, negara progresif.

    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dr Haji Mahali menyampaikan ucapan balas diikuti dengan sesi dialog antara ahli MMN dan pihak Kementerian Pendidikan.

    Sesi dialog diadakan dalam suasana silaturahim dan secara terbuka bagi perkongsian maklumat, isu dan cadangan yang sudah setentunya dapat memberikan manfaat kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda