Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Seramai 23 orang penerima Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ telah mengongsikan hasil daripada menyertai Program Perkembangan ‘Sultan’s Scholar’ 2017 dalam Majlis Refleksi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu ‘Sultan’s Scholar’.
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Pandu ‘Sultan’s Scholar’.
Wakil Alumni Sultan’s Scholar, Awangku Haji Muhammad Zaki bin Pengiran Dato Paduka Haji Zaini yang pada masa ini berkhidmat di Brunei Shell Petroleum sebagai jurutera binaan menjelaskan, Program Perkembangan ‘Sultan’s Scholar’ ketiga ini bermula dengan Singapura Leg dan diikuti dengan lawatan di Daerah Temburong seterusnya mengadakan lawatan ke kementerian-kementerian di negara ini.
Dalam program Singapore Leg, katanya, rombongan penerima skim berkenaan menjalani latihan perkhidmatan awam di Kolej Perkhidmatan Awam, Singapura di mana seramai 12 orang penerima skim berkenaan mempelajari asas kerajaan dan dasar kerajaan selama empat hari.
Beliau mula menerima biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ pada tahun 2009, menjelaskan bahawa dengan adanya program berkenaan, ia dapat memberi kesedaran dan membuka minda mengenai perkhidmatan awam di mana tidak semua penerima skim berkenaan terdiri daripada kalangan perkhidmatan awam.
Pada majlis itu, taklimat Program Perkembangan ‘Sultan’s Scholar’ 2017 – Singapore Leg telah disampaikan oleh Khong Yu Neng dan Dayang Rabviyatul Adauyah @Zahidah binti Haji Awang.
Manakala itu, taklimat bagi Brunei Leg (Lawatan ke Daerah Temburong) pula telah disampaikan oleh Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah dan Dayang Nur Hafilah Salihah binti Haji Mohd Salleh.
Taklimat Brunei Leg (Lawatan ke agensi-agensi kerajaan) pula disampaikan oleh Awang Muhammad Ayyub bin Haji Kamaluddin dan Awang Muhammad Shu’aib bin Haji Kamaluddin.
Pada majlis itu, Awangku Haji Muhammad Zaki turut menyampaikan taklimat mengenai ‘alumni actionable plan’.
Melalui inisiatif-inisiatif yang dibangunkan melalui program ini, penerima Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ diharap akan lebih peka terhadap pembangunan dan perkembangan negara sendiri.
Selain itu bersiap siaga untuk berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta meningkatkan keboleh-upayaan mereka dengan memainkan peranan utama dalam memacu proses transformasi negara.
Yayasan turut menyatakan penghargaan atas segala sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh semua pihak daripada sektor kerajaan, swasta mahupun persatuan bukan kerajaan, terutamanya kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Negara Brunei Darussalam dalam membantu Yayasan merancang dan melaksanakan Program Perkembangan ‘Sultan’s Scholar’.
Turut hadir di majlis itu ialah ahli-ahli Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan, pegawai-pegawai kanan Yayasan dan alumi serta penuntut skim biasiswa berkenaan.