Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi perspektif trend ekonomi utama

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei menganjurkan Taklimat Penyelidikan Global H1 2025, bertajuk Reverberations di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) pada awal minggu ini.

    Acara eksklusif itu menghimpunkan kira-kira 100 pelanggan korporat dan pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan berharga daripada pakar ekonomi serantau StanChart mengenai prospek ekonomi global dan tempatan untuk tahun hadapan.

    Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua FX, ASEAN dan Asia Selatan, Penyelidikan Global StanChart, Edward Lee dan Pakar Ekonomi dan Penganalisis FX, Asia, Penyelidikan Global StanChart, Jonathan Koh, berkongsi perspektif mereka tentang trend ekonomi utama yang membentuk pasaran global dan landskap perniagaan Brunei.

    Perbincangan mereka meliputi peluang pertumbuhan, sekatan ekonomi dan strategi untuk menavigasi iklim kewangan yang berkembang.

    Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, “Kita semua mungkin tahu bahawa bayangan ketegangan geopolitik tetap tidak menentu kerana perang perdagangan sering menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

    Pengiran Aki Ismasufian menyampaikan ucapan alu-aluan pada taklimat di BKISHHB pada awal minggu ini. – GAMBAR SERAHAN STANCHART BRUNEI
    Panel perbincangan yang dikendalikan Awangku Muhd Hazwan bersama Edward Lee dan Jonathan Koh. – GAMBAR SERAHAN STANCHART BRUNEI

    “Ia juga mungkin membawa kepada ketidaktentuan pasaran, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan perubahan dalam pakatan perdagangan apabila negara berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif dan ketidaktentuan ekonomi. Di StanChart, kami memahami bahawa ketidaktentuan ini meresahkan,” jelasnya.

    Pengiran Aki Ismasufian turut menambah sebagai pemimpin perniagaan, pelabur dan pembuat dasar, mereka beroperasi dalam dunia yang mempercepatkan perubahan di mana arah aliran makroekonomi global, landskap kawal selia yang berkembang, dan teknologi transformatif terus mentakrifkan semula cara mereka berniaga, melabur dan berkembang.

    “Di Bank StanChart, kami komi-ted untuk membantu pelanggan kami mengharungi kerumitan ini dengan analisis yang dihasilkan oleh penganalisis global dan cara StanChart memposisikan dirinya untuk mengharungi cabaran dan peluang di hadapan,” ujar beliau.

    Acara diteruskan dengan ucaptama daripada Pengarah Urusan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, yang menekankan kepentingan daya tahan ekonomi dan perancangan strategik dalam persekitaran perniagaan masa kini.

    Beliau menyatakan prestasi ekonomi Brunei Darussalam sebahagian besarnya bergantung kepada perkembangan geopolitik, terutamanya yang mempengaruhi harga komoditi global dan kestabilan ekonomi rakan dagangan utamanya.

    “Berdasarkan latar belakang ini, penggubal dasar perlu segera melihat laluan berbeza dalam memulihkan pertumbuhan ekonomi sambil memastikan daya tahan sektor kewangan terhadap sebarang kemungkinan gangguan,” jelasnya.

    Hajah Rashidah seterusnya mengetengahkan tiga bidang tumpuan utama, iaitu inovasi teknologi, kewangan mampan dan kesediaan menghadapi krisis serta mengongsikan bahawa BDCB akan memulakan pembangunan Pelan Tindakan Sektor Kewangan kedua (2026 – 2035) pada tahun ini.

    “Dalam menyokong sektor kewangan yang rancak, kami juga akan memperkemas strategi utama, iaitu Pelan Hala Tuju Pembayaran Digital yang diperbaharui.

    “Kejayaan strategi ini, bagaimanapun, bergantung kepada kerjasama dan penyelarasan yang berkesan dalam kalangan pihak berkepentingan. Saya berharap kami dapat terus memperdalam penglibatan kami dengan industri dalam merealisasikan laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan,” tambah beliau.

    Acara berakhir dengan sesi perbincangan panel diikuti sesi soal jawab, dikendalikan oleh Kaunselor Pelaburan Kanan di Standard Chartered Securities Brunei, Awangku Muhd ​​Hazwan bin Pengiran Haji Kamarulzaman, bersama Edward Lee dan Jonathan Koh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda