KUALA LUMPUR – Bak ungkapan ‘usaha tangga kejayaan’, sesuatu kejayaan untuk mengubah nasib dan membina kehidupan yang baik memerlukan usaha gigih, jujur, amanah dan ikhlas dalam setiap pekerjaan termasuk untuk memasarkan produk keluaran sendiri.
Justeru, seminar ‘Mencipta Keajaiban Pekerjaan’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini, menjadi platform perkongsian resipi kejayaan tiga usahawan.
Memulakan forum ‘Menongkah Arus, Mencipta Keajaiban’, Pengurus Besar Fatisha Agro Farm, Rusila Yusof, yang terlibat dalam pengeluaran, pembekalan, perunding projek dan pengendali kursus berkaitan cendawan, meninggalkan dunia akademik dan terjun ke alam perniagaan tani.
Bekas tenaga pengajar di Universiti Pertahanan Nasional, yang nekad memulakan tanaman cendawan sejak 10 tahun lalu, mengalami pengalaman pahit pada tahun pertama apabila lebih separuh modal perniagaannya ‘hangus’ dan beliau hampir menutup perusahaannya kerana cetek kepakaran dan pengalaman.
Namun, anak kelahiran Kemaman ini akhirnya berjaya menguasai bidang berkenaan hasil kerja keras dan sokongan pelbagai agensi kerajaan, dan kini mempunyai ladang cendawan terbesar di negara ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Berkelulusan sarjana Muda Teknologi Kimia dan Sarjana Sains Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rusila kini mengusahakan ladang cendawan tiram menggunakan kaedah penghasilan benih melalui tisu kultur di kawasan seluas 0.4 hektar di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu.
Beliau juga memasarkan pelbagai produk makanan berasaskan cendawan selain mempunyai sebuah kafe ‘Fatisha Mushroom Kopitiam’, yang antara lain menjadikan produk makanan berasaskan cendawan sebagai menu utama.
Penyedia khidmat penghantar cepat (runner), Ahmad Faizal Murtadza, 27, pula menceritakan beliau hanya bertemankan sebuah motosikal dan beg galas bergerak dari satu tempat ke tempat lain di sekitar Shah Alam, Selangor dan Lembah Klang bagi menghantar pesanan pelanggan.
“Untuk berjaya kita harus ikhlas dalam pekerjaan kita, kita tidak harus pandang kepada upah semata-mata, sebaliknya kerja keras, tidak malu memasarkan produk kita dan merendah diri dalam memberikan khidmat kita.
“Saya tidak memilih barang yang dihantar, daripada sekecil-kecil barang sehinggalah kepada kotak besar, dari dulu RM3 hingga sekarang mencecah RM700 upah asalkan membawa rezeki pada diri dan keluarga,” katanya. Berkhidmat sebagai runner, yang bukan sekadar menghantar surat tetapi meliputi pelbagai khidmat dan bantuan sejak 2015, Ahmad Faizal berkata purata perolehan untuk setiap hari adalah sekitar RM50 hingga RM100, bergantung kepada kerja yang diperoleh selain menjual nasi lemak pada waktu pagi hingga tengah hari. Lain pula kisah Che Mohd Amin Hussin, 32, yang menubuhkan syarikat CA Cleaning Service Sdn Bhd pada 2015 bagi perkhidmatan pembersihan dan pencucian rumah.
Inspirasi membuka perniagaan itu atas masalah tiada masa mengemas rumah sendiri kerana kesibukan beliau dan isteri bekerja serta tidak mempunyai masa untuk melakukannya setiap hari setelah balik kerja.
Menyedari masalah sama turut dihadapi ramai orang, beliau membuka syarikat yang beroperasi di Taman Desa Cheras dengan menyediakan perkhidmatan pembersihan rumah, pembersihan komersial (pasukan bergerak atau mobile) dan pembersihan secara kontrak.
Memulakan perniagaan dengan modal RM2,600 selepas menerima upah bagi perkhidmatan pertama membersihkan sebuah rumah menggunakan peralatan rumah sendiri, beliau berkata mereka yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan perlu fokus mencari idea perniagaan bagi membantu menyelesaikan masalah di kawasan persekitaran.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin ketika berucap merasmikan seminar itu berkata pihaknya berbesar hati menjadi platform mengadakan seminar itu bagi mencipta peluang pekerjaan kepada graduan dan belia yang menganggur.
“Kita teruja untuk mendengar bagaimana mereka melihat prospek pekerjaan dari sudut yang kreatif. Selain itu, seminar ini akan melihat realiti semasa tentang sektor pekerjaan di Malaysia, terutama pekerjaan, tip-tip menjadi pekerja yang diingini majikan dalam prospek penggunaan medium pekerjaan untuk mencari kerjaya yang baik,” katanya. – Bernama