Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi tanda-tanda komputer digodam

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Banyak e-mel dihantar ke akaun e-mel, komputer kerap crash, program-program tidak dikenali pada awal apabila menghidupkan komputer, program-program yang secara automatik tersambung kepada Internet dan aktiviti-aktiviti biasa seperti perubahan kata kekunci adalah antara tanda-tanda amaran bahawa komputer telah digodam.

    Senarai tanda-tanda komputer digodam itu diketengahkan oleh penganalisis sekuriti di BruCert, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi dalam pembentangannya bertajuk ‘Adakah Anda Digodam’ sebagai sebahagian daripada Minggu Teknologi Digital 2021, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2021.

    Semasa pembentangan yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu, Dayang Nomi Hafiz Zakiah juga menekankan mengenai apa yang penjenayah boleh lakukan dengan data selepas mendapatkan maklumat daripada akaun yang digodam iaitu menjualnya di jaringan gelap, menggunakannya bagi pencurian identiti, mengambil alih akaun dalam talian, menggunakannya bagi serangan-serangan phishing dan pemerasan, maklumat peribadi yang dicuri juga boleh digunakan untuk memudaratkan syarikat-syarikat, merampas nama pengguna dan kata kekunci, mencuri wang dan akaun bank dalam nama mangsa dan meminta pin akaun atau kad kredit baharu serta membuat pembelian dan mendapatkan wang pendahuluan.

    Menurut beliau, orang ramai juga boleh menggunakan beberapa laman sesawang untuk memeriksa sama ada mereka telah digodam seperti www.haveibeenpwned.com, www.sitecheck.sucuri.net dan www.virustotal.com.

    Beliau menasihatkan orang awam yang telah digodam untuk menukar kata kekunci mereka dengan segera, memaklumkan rakan-rakan, keluarga dan pengikut serta menjamin alamat e-mel utama dengan kata kekunci baharu dan 2FA, mengimbas komputer bagi virus-virus dan malware serta memasang semula sistem operasi dan data sandaran.

    Semasa pembentangannya itu, beliau mendedahkan bahawa sepanjang tahun lalu dan tahun ini, majoriti aduan yang diterima oleh BruCert adalah WhatsApp.

    Beliau menyatakan bahawa terdapat 410,000 pengguna media sosial di Brunei Darussalam setakat Januari 2020 dan mencatatkan 94 peratus penembusan media di mana negara berada di tempat kedua bagi penembusan di seluruh dunia.

    Dayang Nomi Hafiz Zakiah mengongsikan tanda-tanda bahawa komputer telah digodam, semasa pembentangannya sempena Minggu Teknologi Digital 2021, MYCE 2021.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda