BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Bagi mengongsikan garis panduan tatacara perlaksanaan pendekatan awam bagi agensi-agensi kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) dengan kerjasama Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Jerayawara Perlaksanaan Pendekatan Awam oleh agensi-agensi kerajaan yang telah diadakan di Institut Perkhidmatan Awam.
Jerayawara tiga hari, hingga kelmarin itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan Bahagian 2 ke atas yang mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab yang berkaitan dengan pembentukan dan pengurusan dasar, perhubungan korporat serta pegawai perhubungan awam, pegawai pentadbir, pegawai tugas-tugas khas, pegawai penyelidik, pegawai projek, pegawai kerja dan seumpamanya daripada 13 buah kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jerayawara antara lain diisi dengan Taklimat Garis Panduan Perlaksanaan Pendekatan Awam yang disampaikan oleh MSD dan taklimat penggunaan media digital dalam pendekatan awam yang dikongsikan oleh EGNC.
Selain itu, ia juga diisi dengan perkongsian maklumat mengenai pendekatan awam yang telah dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan yang dijemput seperti Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Bahagian Komunikasi Korporat serta Profesional Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, Perlaksanaan Pendekatan Awam merupakan kesinambungan kepada Rangka Kerja Perkhidmatan Awam (RKPA) yang mendokong kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
Penekanan terhadap perlaksanaan aktiviti-aktiviti pendekatan awam bertujuan untuk mempertingkatkan lagi hubungan baik antara agensi kerajaan dengan orang ramai, di samping menggalakkan setiap agensi kerajaan supaya lebih peka terhadap keperluan dan isu yang dihadapi orang ramai dan pihak yang berkepentingan dalam merancang apa jua dasar, program atau projek yang sesuai dengan kehendak semasa.
Garispanduan tersebut boleh dimuat turun melalui laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, http:// www.msd.gov.bn. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenainya bolehlah menghubungi MSD melalui talian 2382064 / 5 / 6 atau melalui e-mel ke alamat info.msd@msd.gov.bn.