Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi tip bezakan berita palsu

    TUTONG, 6 JULAI – Program Sua Muka anjuran Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak agensi-agensi kerajaan yang berkenaan telah diteruskan lagi hari ini bagi Kampung Lubok Pulau, Mukim Tanjong Maya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, pada program yang diadakan di Balai Raya Kampung Lubok Pulau itu, Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim antara lain mengongsikan mengenai penyebaran beberapa maklumat palsu di era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai merasa takut dan cemas.

    Menurut beliau lagi, apa yang lebih membimbangkan maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber yang sahih dan kemudiannya menjadi tular sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan juga keselamatan negara.

    Beliau turut mengongsikan beberapa tip membezakan berita palsu dan tindakan yang boleh diambil di bawah perundangan Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34.

    Turut menyampaikan taklimat ialah wakil beberapa agensi kerajaan termasuk dari Kementerian Kesihatan yang menyentuh mengenai bagaimana kementerian bersama agensi-agensi yang relevan dengan kepakaran berdasarkan kesihatan untuk sama-sama menjayakan Program Vaksinasi COVID-19, dari Pusat Kebangsaan E-Kerajaan mengenai portal e-Darussalam dan dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan yang berkongsi mengenai tugas utama Unit Jalan Raya di jabatan berkenaan.

    Kenyataan menyatakan, Program Sua Muka yang juga dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan serta membarigakan maklumat dan program serta perkembangan dan kemajuan mukim itu turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Haji Ishak bin Haji Abdul Manaf.

    Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata atas usaha berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada masa ini proses pembinaan, perluasan dan penaiktarafan aliran air sungai bagi mengurangkan permasalahan banjir sedang giat dilaksanakan di kampung berkenaan.

    Dalam bidang ekonomi pula, ujar beliau, penduduk kampung berkenaan mempunyai Stesen Minyak KOPEKLAP dan beberapa buah kedai untuk disewa dan produk-produk kampung yang menyumbang kepada sosioekonomi di Kampung Lubok Pulau.

    Haji Shahrul Jeffri dan Haji Ishak bergambar ramai semasa majlis tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda