Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Teknik pembelajaran, ulang kaji dan pengurusan masa yang efektif merupakan antara tip yang dikongsikan bagi menghadapi peperiksaan semasa ceramah motivasi bagi murid-murid Tahun 6 Tinkerbell Learning School yang diadakan di Hotel Higher, Kiulap pada 26 Mei lalu.
Ceramah motivasi berkenaan telah dihadiri oleh seramai 64 orang murid sekolah berkenaan di mana ia turut dihadiri oleh Pengurus Am Sekolah, Robert Bartholomew; Pengetua Sekolah TinkerBell Learning School, Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Rahman, guru-guru kanan, guru-guru serta kakitangan sekolah itu.
Ceramah motivasi disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Setiausaha Agung Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Haji Mustapa bin Haji Masri yang mengongsi teknik-teknik dan persiapan bijak belajar, teknik ulang kaji berkesan serta pengurusan masa yang efektif bagi mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan PSR yang akan datang.
Haji Mustapa turut menekankan mengenai dengan ciri-ciri pelajar yang cemerlang yang mahu mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.