Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku wakil Negara Brunei Darussalam mengetengahkan pelbagai usaha ASEAN dalam membendung dan mengatasi pandemik yang melanda semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kesihatan Global 2021 secara maya, baru-baru ini.
Yang Berhormat Dato mengongsikan antara usaha ASEAN dalam membanteras pandemik termasuklah penubuhan Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu Muncul; mempayukan Prosedur Operasi Standard ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam; menyediakan laporan berkala mengenai Penilaian Berisiko bagi Penularan COVID-19 Antarabangsa untuk setiap negara-negara ahli ASEAN; dan Komunikasi Berisiko dalam menangani maklumat palsu.
Menurut kenyataan yang diterima hari ini, Negara Brunei Darussalam menerima undangan untuk menghadiri persidangan maya yang berpusat di Rom, Itali itu atas kapasitinya sebagai pengerusi sidang kemuncak ASEAN tahun ini.
Antara yang menghadiri sidang tersebut adalah perwakilan negara-negara ahli G20, wakil organisasi kesihatan global, ketua negara atau kerajaan serta presiden organisasi antarabangsa dan serantau.
Perbincangan kemudian dimulakan dengan ucaptama daripada Presiden Majlis Menteri Republik Itali, Mario Draghi yang menyeru kerjasama daripada semua pihak untuk saling berganding bahu dalam menangani pandemik yang masih menular dengan memastikan pengedaran vaksin yang saksama di setiap wilayah.


Sesi pleno memberikan ruang kepada perwakilan negara-negara ahli G20, wakil organisasi kesihatan global, ketua negara atau kerajaan serta presiden organisasi antarabangsa dan serantau untuk memberikan intervensi yang berkaitan isu yang dibentangkan atau yang berbangkit.
Kenyataan seterusnya menyatakan sidang banyak membincangkan Respons Global Koronavirus, iaitu tindakan secara global untuk memastikan kesaksamaan dalam mendapatkan vaksinasi, rawatan dan ujian COVID-19 bagi setiap wilayah.
idang telah diakhiri dengan kata-kata penutup dari Mario Draghi dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen yang secara menyeluruh menyeru Respons Global Koronavirus direalisasikan yang bertujuan untuk memperkukuh sistem kesihatan di mana jua, demi menyokong pemulihan ekonomi, khususnya di wilayah dan komuniti yang paling kurang berkeupayaan dan tidak berkemampuan.
Di penghujung sidang persetujuan bersama di antara negara-negara ahli G20 dan yang berkepentingan ke atas Deklarasi Rom berkaitan pengedaran vaksin, rawatan dan ujian COVID-19 yang adil dan saksama.