Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsensus antara Pesaka dan Bumiputera kuatkan PBB – Uggah

    KUCHING, 14 FEB – Semangat muafakat serta konsensus antara pemimpin Pesaka dan Bumiputera dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi formula penting bagi memastikan parti itu terus kuat dan relevan.

    Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semangat tolak ansur dan persefahaman itu boleh dilihat dalam pembahagian jawatan dan pemilihan parti tersebut.

    “Jika Ketua Pemuda dari Pesaka maka sayap Bumiputera akan menjadi Ketua Wanita. Kedua-dua sayap ini ada persefahaman jelas, saya (dari Pesaka) menjadi Timbalan Presiden dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dari Bumiputera juga Timbalan Presiden.

    “Kita tidak pernah bertembung dan tiada isu konfrontasi kaum. Apa yang lebih menarik ialah ini (konsensus) tidak tercatat dalam perlembagaan parti kami. Oleh kerana ini satu amalan baik jadi semua pihak memerhati, menjaga, mengekalkan dan melindunginya,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung ke-16 pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak di sini, hari ini.

    PBB terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap Bumiputera yang terdiri daripada Melayu dan Melanau manakala sayap Pesaka terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

    Sementara itu, Uggah berkata pada 2024 terdapat seramai 2,008,347 pengundi berdaftar di Sarawak justeru Pemuda serta Wanita PBB harus bekerja keras untuk memenangi hati mereka.

    “Untuk wanita, kamu ada peranan penting untuk mendekati serta sentiasa mengingati pengundi tentang peranan besar dalam pembangunan parti dan pembangunan Sarawak.

    “Kepada pemuda dan belia, undi golongan muda penting kepada kejayaan dan kelangsungan parti. Saya menyeru pihak belia agar sentiasa turun padang dan merangkumkan golongan muda kita yang bukan saja merupakan masa depan parti malah Sarawak yang dicintai,” katanya. – Bernama

    Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa simbolik perasmian Majlis Perhimpunan Agung ke-16 Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda