Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsep Melayu Islam Beraja : Perspektif sejarah

    Oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong

    Pejabat Sekretariat, MajlisTertinggi Melayu Islam Beraja

    MESKIPUN amalan cara hidup Melayu Islam Beraja (MIB) telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Negara Brunei Darussalam sejak 650 tahun, namun konsep tersebut telah mula diperkenalkan dalam perundingan mengenai Perlembagaan Negeri Brunei 1959 pada tahun 1957. Perkara ini jelas tercatat dalam minit mesyuarat fail C.O. 1030/460 Constitution of Brunei, yang bertarikh pada 30 September 1959 yang tersimpan di Arkib Negara, Kew Garden, London dan salinannya di Pusat Sejarah Brunei.

    Konsep ini timbul apabila Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien tidak mempersetujui cadangan Kerajaan British untuk mewujudkan satu Federasi Borneo yang melibatkan Brunei dengan Sabah dan Sarawak dalam permesyuaratan dengan Setiausaha Negara bagi tanah-tanah jajahan, Sir Lennox Boyd di London.

    Akhirnya, Sir Lennox Boyd memberi jaminan kepada rombongan Brunei bahawa Kerajaan British akan terus mendukung kewujudan Brunei sebagai sebuah Kesultanan Melayu Islam (Malay Islamic Sultanate) seperti mana dinyatakan dalam keputusan dalam permesyuaratan tersebut yang berlangsung pada 30 September 1957 di Pejabat Tanah Jajahan di London. Seperti yang dinyatakan, “Her Majesty’s Government ere determined that nothing should be proposed which would in any way depress the status of Brunei as a Malay Islamic Sultanate”.

    Oleh itu, pada hakikatnya konsep Kesultanan Melayu Islam yang akhirnya dikenali sebagai Melayu Islam Beraja dalam pemasyhuran kemerdekaan 1984 mulai dipergunakan dalam tahun 1957 yang memang diperjuangkan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien berdasarkan cadangan awal dari ‘Jawatankuasa Tujuh Serangkai’.

    Konsep ini kemudiannya telah disebarluaskan oleh Jabatan Penerangan Brunei khususnya selepas tertandatanganinya Perjanjian antara Brunei dengan United Kingdom pada tahun 1979 bagi persediaan Brunei ke arah kemerdekaan yang diberi tempoh selama lima tahun.

    Pelantikan Menteri Besar Brunei selepas pemasyhuran Perlembagaan Negeri Brunei pada 29 September 1959.

    Bagi menjelaskan mengenai bentuk dan sistem kerajaan Brunei selepas merdeka, Jabatan Penerangan Brunei yang berperanan sebagai lidah kerajaan telah memberi kefahaman kepada rakyat Brunei khususnya dan masyarakat luar umumnya tentang bentuk kerajaan Brunei selepas merdeka. Maka dalam taklimat-taklimat dan maklumat-maklumat yang disebarkan serta ucapan-ucapan dari Pengarah Penerangan terutamanya selepas tahun 1979 Konsep Kesultanan Melayu Islam telah diperkenalkan bagi menjelaskan status Brunei setelah mengambil alih kuasa pemerintahan secara penuh pada 1 Januari 1984.

    Dengan kata lain konsep MIB yang diisytiharkan seperti dalam watikah pemasyhuran 1984 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah berasal daripada perundingan di London pada 30 September tahun 1957 yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Islam (Malay Islamic Sultanate).

    Konsep ini jelas digunakan dalam akhbar kerajaan Pelita Brunei terutama antara tahun 1979 sehingga era kemerdekaan dalam menjelaskan bentuk kerajaan Brunei setelah mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan British.

    Oleh itu, rakyat dan penduduk negara ini perlu mengetahui liku-liku perjuangan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan serta pemimpin-pemimpin Brunei dalam menegakkan dan mengekalkan status Brunei sebagai sebuah negara MIB sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959. Kejayaan Baginda dan rombongan dalam memperjuangkan kedaulatan Negeri Brunei sememangnya senantiasa menghadapi berbagai-bagai cabaran dan rintangan bukan sahaja daripada pihak British bahkan juga daripada rakyat Baginda sendiri.

    Sebagai contoh pada tahun 1957 Parti Rakyat Brunei (PRB) yang berhaluan kiri telah menjadi saingan terhadap cadangan perlembagaan yang Baginda cadangkan. Di mana PRB sendiri telah menghantar rombongan cadangan Perlembagaannya ke London pada waktu yang sama seolah-olah tidak menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap perwakilan daripada rombongan kerajaan Baginda mengenai masa depan politik dan bentuk kerajaan Brunei. Rombongan PRB telah diterima untuk berunding dengan wakil dan juga Setiausaha Tanah Jajahan pada 26 September dan 30 September 1957 jam 3:00 petang.

    Pelbagai liku dan cabaran

    Rombongan ini diterima dan dilayan dengan baik oleh Pejabat Tanah Jajahan di London atas nasihat dan perkenan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien apabila perkara dirujuk oleh Pejabat Tanah Jajahan. Sebagaimana kenyataan awal Sir John Martin (Pegawai British di Tanah Jajahan di London) kepada rombongan Baginda mengenai pendirian mereka terhadap rombongan PRB, In closing the meeting, Sir John Martin said that the Secretary of State might hesitate to receive the delegation because of the action in issuing instruction to boycott the constitution. This was not a right method and not method which was helpful to progress. He would however report today’s discussion to the Secretary of State and take his further instructions.

    Bagaimanapun dalam pertemuan mesyuarat kali kedua dalam kenyataan terakhirnya kepada PRB, Setiausaha Negara bagi tanah jajahan membuat keputusan tidak menerima dan melayan apa jua cadangan dan kertas kerja yang telah dibawa oleh rombongan PRB, sebagaimana yang tercatat dalam minit mesyuarat kedua, The Secretary of State said that he had already made it clear that proposals for amendment to the new Constitution must be submitted to the Sultan in Council who would consider them along with any other representations. He had no doubt that High Highness would then consult the Secretary of State again. But this could not be till sometime after His Highness had returned to Brunei. Meanwhile there could be no question of his sending a reply to the Memorandum, and he hoped Mr. Azahari would make this clear to his followers when he returned.

    Oleh itu, rombongan PRB telah menemui kegagalan di London dan balik ke Brunei dengan tangan kosong. Manakala rombongan Baginda kali kedua ini sekurang-kurang menanda titik kecerahan untuk perundingan seterusnya bagi meneliti dan menghalusi isi-isi Perlembagaan Negeri Brunei yang telah dicadangkan sebagai asas kepada revival sebuah negara MIB.

    Sebenarnya pada tahun 1957 itu, rombongan Baginda telah membuat permesyuaratan dengan Kerajaan British sebanyak tiga kali yang berlangsung pada 11, 27 dan 30 September 1957.

    Dengan kata lain, rombongan Baginda terpaksa berada di London selama lebih kurang sebulan bagi menunggu kelapangan dan kekosongan masa bagi pegawai-pegawai British yang bertugas di Pejabat Tanah-tanah Jajahan di London khususnya Setiausaha Negara Tanah-Tanah Jajahan, Sir Lennox Boyd.

    Baginda telah berangkat menghadiri ketiga-tiga mesyuarat tersebut. Dalam mesyuarat pertama yang berlangsung pada 11 September jam 3:00 petang di Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan, Baginda telah diiringi oleh Duli Pengiran Pemancha, Dato Perdana Menteri dan Pengiran Yusof manakala pihak British diketuai oleh Sir John Martin dan pegawai-pegawainya.

    Dalam perundingan pada tahun 1957 antara isu yang penting telah dibincangkan ialah usul-usul perlembagaan yang melibatkan kuasa Pesuruhjaya Tinggi British dalam fasal 39 dan cadangan rancangan penyatuan tiga wilayah. Sebagaimana kenyataan Setiasausaha Negara, The Secretary of start had been advised that it would be sufficient for those powers of the High Commissioner to be contained in the Agreement only. In order have full legal effect they must be included in the Constitution Enactment. It was also important that should that people should see clearly what the High Commissioner power were”.

    Dalam rombongan perundingan terakhir dalam bulan Mac pada tahun 1959, di samping rombongan yang terdahulu, rombongan Brunei juga disertai oleh Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab dari Malaya (Penasihat Perlembagaan) dan Mr. Neil Lawson Q.C. dari United Kingdom selaku Peguam Penasihat yang menunggu rombongan di London. Ini adalah merupakan perbincangan terakhir sebelum Perlembagaan Brunei dimasyhurkan pada 29 September 1959.

    Dalam mesyuarat awal dengan Sir John Martin telah dipersetujui untuk meneliti beberapa isu penting untuk diperbincangkan dengan Setiausaha Negara dengan lebih mendalam lagi. Antaranya ialah mengenai jawatan Menteri Besar. Baginda juga telah menyuarakan atas kehendak rakyat agar jawatan Menteri Besar yang dicadangkan nanti akan dipegang oleh anak tempatan termasuk jawatan lain seperti Setiausaha Kerajaan (SUK) dan Pegawai Kewangan Kerajaan supaya dilantik dengan segera.

    Pihak Britsh mengatakan bahawa jawatan tersebut belum dapat dilantik memandangkan proses perundingan Perlembagaan ini belum lagi selesai dan tamat. Bagaimanapun, Baginda mencadangkan agar pelantikan bagi jawatan ini dapat dibuat selepas enam bulan Majlis Mesyuarat Negeri mengesahkan Perlembagaan Bertulis ini.

    Dan pegawai yang bakal menjawat jawatan ini adalah dilantik oleh Baginda sendiri. Bagaimanapun, Sir John Martin kurang bersetuju dengan cadangan jawatan ini kerana dianggapnya sebagai terlalu tergesa-gesa yang menyebabkan pihak British kurang membantu kerajaan Brunei dalam proses menuju ke arah berkerajaan sendiri.

    Baginda menjelaskan pelantikan ini bukan merupakan satu langkah tergesa-gesa kerana perancangan perlembagaan ini sudah memakan masa yang agak lama sejak tahun 1953 atas kehendak dan kemahuan rakyat Brunei. Lagipun, calon bagi memegang jawatan yang dimaksudkan (Menteri Besar) sudah dipilih.

    Dan pihak British tidak perlu khuatir tentang peranannya terhadap proses kemerdekaan Brunei, kerana British masih berstatus di bawah naungan Kerajaan British oleh itu Pesuruhjaya Tinggi British masih berperanan untuk menasihati Sultan dalam hal ehwal pentadbiran Negeri Brunei Darussalam.

    Akhirnya, Sir John Martin akur di atas permintaan dan cadangan Baginda. Inilah merupakan rintisan liku-liku perjuangan Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan pemimpin-pemimpin Brunei dalam memperjuangkan kedaulatan Brunei sebagai sebuah megara MIB yang bermula sejak tahun 1953. Sebagai rakyat dan penduduk negara ini kita perlu mengetahui sejarah perjuangan tersebut dan mensyukuri atas nikmat yang diterima dan miliki selama ini hasil daripada perjuangan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda