Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Praktikum Keusahawanan Pendidikan Islam 2025 anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras pagi tadi diserikan dengan salah satu Sesi Kongsisama bertajuk Keep Calm, Trust Allah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan yang antara lain menekankan kepentingan ketenangan hati melalui konsep tawakal dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi tekanan kehidupan moden.
Dalam sesi berkenaan, beliau menjelaskan bahawa realiti kehidupan masa kini yang pantas dan sarat dengan tuntutan sosial, tanggungjawab kerja, pelajaran serta keluarga sering menjadikan hati manusia mudah gelisah. Tambahnya, tekanan kewangan, emosi dan sosial juga menyumbang kepada keresahan yang berpanjangan.
“Ketenangan sebenar bukan datang apabila masalah telah selesai, tetapi apabila hati mula redha dan percaya kepada Allah SWT walaupun ujian masih belum berakhir,” jelas beliau sambil mengaitkan konsep tersebut dengan Surah At-Talaq ayat 3 dan hadis Rasulullah SAW tentang tawakal, “Ikatlah unta itu kemudian bertawakallah.”
Beliau turut menekankan bahawa ujian bukanlah hukuman, tetapi latihan jiwa dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta meningkatkan darjat keimanan, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 dan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, “Sungguh menakjubkan keadaan orang beriman, kerana setiap urusannya adalah kebaikan baginya.”
Dalam sesi itu juga, Pengiran Norizzati mengongsikan pelbagai teknik praktikal berpaksikan Islam dan psikologi moden bagi mengurus tekanan, antaranya solat dan zikir sebagai terapi spiritual, amalan doa Nabi Yunus AS, serta muhasabah diri sebelum tidur dengan menilai nikmat yang diperoleh setiap hari.

Beliau turut memperkenalkan pendekatan Cognitive Reframing Islamik iaitu menukar perspektif negatif kepada positif dengan menganggap cabaran sebagai ujian dan peluang untuk memperoleh pahala.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada teknik Grounding 5-4-3-2-1 bagi menstabilkan emosi serta strategi A-B-C Control — Accept (terima keadaan sebagai ujian Allah SWT), Breathe (tarik nafas perlahan), dan Choose Response (pilih reaksi terbaik) dengan menjadikan ‘Astaghfirullah’ sebagai ‘butang jeda’ sebelum bertindak.
Beliau turut menasihatkan agar menjaga pemakanan, mendapatkan tidur yang cukup, bersyukur atas setiap nikmat dan sentiasa redha dengan takdir Allah SWT.
Sesi turut diakhiri dengan penghayatan kisah para nabi seperti Nabi Ayub AS, Nabi Yunus AS dan Nabi Muhammad SAW yang menjadi teladan keteguhan iman dan keyakinan terhadap rahmat Allah SWT meskipun diuji dengan pelbagai dugaan.
“Ketenangan bukan kerana tiadanya ujian, tetapi kerana kita yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama dalam setiap ujian,” ujar beliau mengakhiri sesi berkenaan.

