Konsert Amal Countless Blessing yang menggabungkan kumpulan nasyid popular, Raihan dan Alif Satar yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, ditunda pada 22 Februari depan.
Pengarah Urusan Philandure Sdn Bhd, Khalid Al Walid Mustafa Kamil selaku penganjur konsert dalam satu kenyataan media, berkata keputusan itu dibuat berikutan masalah teknikal, sekali gus memohon maaf atas apa yang berlaku.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket dan penyumbang kerana terpaksa menunda program itu pada tarikh baharu iaitu 22 Februari depan. Konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara turut diubah ke lokasi baharu iaitu Pusat Budaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
“Terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha pengumpulan dana buat sekolah dan institusi kebajikan yang terbabit.
“Harapan kami, program pada 22 Februari depan bakal mendapat sokongan masyarakat di luar sana,” katanya.
Khalid berkata, menghargai sokongan yang diberikan, mereka turut berbesar hati menaik taraf tiket kepada tiket Gold, selain pembeli bakal menerima unit cenderahati khas Konsert Amal Countless Blessing. – Agensi
