Monday, May 5, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsert GenKRU ubati kerinduan peminat

    KUALA LUMPUR, 5 MEI – Kerinduan peminat pada kumpulan KRU akhirnya terubat apabila trio adik-beradik itu bersatu di pentas menerusi konsert pertama siri GenKRU yang turut menandakan kemunculan semula mereka selepas tujuh tahun menyepi daripada dunia hiburan.

    Berlangsung hampir tiga jam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas, konsert itu membawa lebih 10,000 peminat daripada pelbagai generasi mengimbau kembali era kegemilangan KRU sejak 1990-an, menerusi lebih 30 lagu hit yang dipersembahkan Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim.

    Tepat jam 9 malam, pentas dibuka dengan rangkaian lagu rancak seperti Fanatik, Malam Kita dan Ooh La La, membakar semangat penonton yang membanjiri arena sejak petang. 

    “Tak sangka, kita (KRU) dah 33 tahun dalam industri, kita masih lagi boleh buat persembahan besar macam ini. Terima kasih banyak kerana bagi sokongan padu kepada kami. Nombor 33 itu agak signifikan buat kami, usia 33 tahun KRU, tiga orang ahli, dan kita adakan konsert ini selama tiga malam di Axiata Arena. Alhamdulillah,” kata mereka.

    Segmen seterusnya menyaksikan susunan lagu balada seperti 2, Babe, Untukmu (lagu asal Feminin), Janji Kita, Di dalam Dilema dan Bidadari, sekali gus mengukuhkan lagi sisi sentimental KRU menerusi kekuatan emosi dalam naratif persembahan mereka.

    Langkah KRU turun dari pentas dan mendekati peminat sambil menyanyikan lagu Dekat Padamu mencipta kenangan paling mahal buat kepada penonton yang berpeluang berinteraksi dengan tiga beradik berkenaan secara dekat, sebelum persembahan diteruskan dengan lagu Wanita dan Apa Saja sebagai penghargaan bagi peminat wanita dan pasangan yang hadir.

    Selain itu, KRU turut mengundang peminat setia yang juga artis terawal naungan mereka, Adam AF2 serta kumpulan Elite untuk menyanyi bersama, masing-masing menerusi lagu Terhangat di Pasaran dan Di Pintu Syurga.

    Malam penuh emosi itu diteruskan dengan kembali ke akar muzik hip hop dan rap melalui lagu seperti Hanya Kau, That’s The Way We Jam dan Inikah Ertinya Cinta yang menghidupkan semula identiti eksperimental KRU yang pernah mempelopori muzik urban dan elektronik di negara ini.

    KRU turut menyanyikan dua single baharu Vodoo dan One More Time daripada album terbaharu mereka berjudul Kaset, yang turut dilancarkan pada malam itu.

    Konsert ditutup dengan tiga lagu ikonik paling dinanti-nantikan peminat, iaitu Mengerti, Jangan Lafazkan dan Awas, yang membakar semangat penonton sehingga mereka berdiri, menari dan menyanyi bersama dalam kemuncak penuh tenaga.

    “Terima kasih kepada semua kerana sudi hadir malam ini. Kita jumpa lagi pada masa akan datang, take care and see you,” ucap mereka sebelum mengakhiri persembahan. – Bernama

    Kumpulan trio adik-beradik, KRU semasa membuat persembahan konsert pertama siri GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda