Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsert istimewa Repvblik rai empat dekad dalam industri

    Kumpulan pop rock Indonesia, Repvblik bakal tampil di Konsert Repvblik Sandiwara Cinta Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Februari depan.

    Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, konsert istimewa ini adalah sebahagian daripada jelajah dunia yang meraikan empat dekad kumpulan Repvblik dalam industri seni.

    “Pastinya konsert ini ditunggu-tunggu peminat kerana bakal menjadi penampilan eksklusif Repvblik di Malaysia selepas sekian lama tidak membuat persembahan berskala besar di sini.

    “Dengan barisan lagu yang menjadi siulan ramai seperti Sandiwara Cinta, Aku Tetap Cinta, Selimut Tetangga, Tiada Guna Lagi dan Hanya Ingin Kau Tah,  kumpulan ini dijangka membawa penonton menyelusuri perjalanan emosi penuh kenangan dalam satu malam yang sarat cinta, kejujuran dan nostalgia.

    “Repvblik yang kini dianggotai Ruri (vokalis utama), Hexa (gitar) dan Tyrex (bass) adalah antara kumpulan muzik Indonesia yang mempunyai pengaruh besar di rantau Asia Tenggara,” katanya.

    Menurutnya, dengan identiti muzik ‘pop rock’ yang kuat dan lirik yang menyentuh hati, Repvblik sudah berjaya mencipta legasi tersendiri dalam industri muzik sejak kemunculan mereka lebih sedekad lalu.

    “Lagu mereka bukan sahaja diminati di Indonesia, malah turut menduduki carta popular di Malaysia dan beberapa negara jiran lain.

    “Penganjuran Konsert Sandiwara Cinta Repvblik Live in Kuala Lumpur ini akan menampilkan produksi bertaraf antarabangsa dengan sistem bunyi, pencahayaan dan visual yang dirancang secara teliti bagi memberikan pengalaman konsert yang luar biasa.

    “Peminat berpeluang menikmati persembahan dalam suasana akustik moden dengan elemen penceritaan visual yang menggambarkan perjalanan muzik Repvblik dari awal pembabitan hingga hari ini.

    “Konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga satu platform untuk memperkukuh jalinan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” katanya.

    Menurutnya lagi, Repvblik mempunyai pengikut yang sangat setia di Malaysia dan Rockstage yang berpengalaman menganjurkan Konsert Loudness, Konsert Kreator dan terbaru Konsert Helloween pada 8 Disember depan, ingin memberikan pengalaman konsert yang berbeza kepada peminat.

    Talib turut menyarankan agar peminat mendapatkan tiket mereka dengan segera memandangkan kapasiti tempat duduk yang terhad dan sambutan awal dijangka sangat menggalakkan.

    “Konsert ini dijangka menjadi antara acara pembuka tirai 2026 yang paling berprestij dalam kalendar muzik tempatan,” katanya. – Agensi

    Repvblik kembali adakan konsert di Malaysia awal tahun hadapan. – Harian Metro
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda