Suasana di Zepp Kuala Lumpur pada malam hujung minggu lalu menjadi gamat dengan sorakan sebaik lampu dimalapkan, menandakan bermulanya konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura.
Kemunculan legenda pop ini di atas pentas membawa aura tersendiri, membuatkan 1,200 peminatnya tidak mampu menahan diri daripada bersorak dan melaungkan namanya.
Meskipun telah meniti usia 65 tahun, Jamal yang nampak muda, kekal bertenaga dan masih mampu memukau penonton dengan alunan suara emasnya yang mantap, membuai penonton dalam melodi yang nostalgik.
Pada konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, Jamal memulakan persembahan dengan lagu Kau Lupa Janji diikuti Perjalananku serta Kekasih Awal dan Akhir.
Peminat turut dihiburkan dengan lagu yang pernah mencetuskan fenomena, Gadis Melayu selain beberapa lagu yang dinyanyikan dalam bentuk medley seperti Nasib Diriku, Ke Mana Ku Bawa dan Sendiri.

Selain mempersembahkan lagu-lagu hebatnya, Jamal juga bijak berinteraksi dengan menyelitkan humor dan seloroh menjadikan setiap detik begitu menghiburkan.
Cara beliau yang santai juga membuatkan peminatnya berasa lebih dekat dengannya.
Di babak kedua konsert, Jamal memberikan kejutan apabila menjemput anak sulungnya Osama Yamani berpadu suara menyanyikan lagu Seroja, selain turut berduet dengan Wany Hasrita menyanyikan lagu, Sandarkan Pada Kenangan.
Bagai mencerminkan perjalanan seninya selama lebih empat dekad, Jamal turut menyanyikan lagu Aku Penghibur selain lagu Penghujung Rindu seolah-olah kembali ke era kegemilangan lagu ini yang masih kekal relevan hingga kini.
Membawa penonton mengimbau kenangan, Jamal turut menyanyikan lagu Azura dengan menghidupkan kembali watak Zack yang dilakonkannya dalam filem Azura (1984) bersama-sama dengan Fauziah Ahmad Daud.
Penghujung konsert merupakan momen paling istimewa bagi peminat-peminatnya apabila Jamal buat pertama kali menampilkan anak-anaknya yang masih kecil di atas pentas, antaranya Nor Azura Yamani, El Isaac Yamani dan Iskandar Rayyan Yamani.
Secara keseluruhan, Jamal bukan sahaja tidak mengecewakan peminat setianya tetapi turut membuktikan keunggulan beliau sebagai penyanyi dalam kelas tersendiri. – Bernama