Pada usia 46 tahun, penyanyi pop dari Dublin, Ireland, Ronan Keating masih aktif dan bertenaga mengadakan persembahan pentas dan konsert jelajah untuk menghiburkan peminat di seluruh dunia.
Bukan sekadar wajah tampan yang digilai peminat wanita, penyanyi yang pernah menempa nama menerusi kumpulan boyband Boyzone ini juga bersandarkan vokal mantap dan persembahan yang tidak pernah menghampakan dalam setiap konsertnya.
Justeru, tidak hairan, Keating memiliki ramai peminat di Malaysia dan negara ini sentiasa ada dalam siri konsert jelajahnya di negara Asia.
Selepas tiga tahun, Keating kembali mengadakan konsert di Malaysia juga di lokasi sama di Genting, sekali gus mengubat kerinduan peminat di sini.
Bertempat di Arena Of Stars, Genting Highlands, seramai 4,700 peminat hadir menyaksikan konsert solo Keating.
Memulakan persembahan sekitar jam 8:45 malam dengan diiringi empat pemuzik dan seorang penyanyi latar wanita, Keating ternyata berjaya membawa peminat mengimbau kenangan dan nostalgia dengan rangkaian 20 lagu popular termasuk ketika bersama boyband Boyzone.
Menurut Keating, dia pernah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album selepas memulakan karier solo pada 1999.
Katanya, dia tidak pernah melupakan kenangan itu dan sentiasa mahu kembali mengadakan konsert di Malaysia. – Agensi