Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsert Mawi di KL ditunda hormati mangsa banjir

    Memikirkan musibah banjir yang melanda negara, Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari ini ditunda pada Julai depan.

    Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur iaitu Showtag Asia menerusi Instagram miliknya yang menyifatkan penundaaan itu sebagai menghormati mangsa banjir yang terjejas di beberapa buah negeri.

    “Showtag Asia ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Megastar Arena, Kuala Lumpur terpaksa ditunda ke Julai 2025.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur di laman Instagram.

    “Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi semasa, khususnya bagi menghormati para peminat dari negeri-negeri yang terkesan akibat bencana banjir.

    “Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat ketika ini, dan atas dasar keprihatinan serta keutamaan terhadap keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, konsert ini diputuskan untuk ditangguhkan,” katanya.

    Dalam pada itu, penundaan konsert ini dilihat secara positif, dalam masa sama dapat memberi ruang kepada pihak penganjur membuat persiapan lebih rapi bagi pengalaman luar biasa buat peminat.

    “Penundaan ini juga memberi kami peluang untuk memastikan persiapan lebih rapi, sekali gus menawarkan pengalaman konsert yang lebih baik kepada semua peminat.

    “Kami percaya langkah ini adalah yang terbaik untuk semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

    Pihak penganjur bagaimanapun memohon maaf atas keputusan yang dibuat dan menjelaskan tiket yang dibeli peminat masih kekal sah untuk tarikh baharu ditetapkan.

    Mawi mengambil keputusan untuk menunda tarikh konsert pada Julai depan.

    “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini, dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta pemahaman anda,” katanya.

    Pada September lalu, penyanyi Mawi atau Asmawi Ani, 43, memaklumkan bakal menganjurkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni. – Agensi

    Konsert Mawi yang bakal berlangsung Januari ini ditunda. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda