Pembukaan semula sektor kreatif pada Fasa Peralihan ke Endemik dan kecenderungan penganjur acara mementaskan konsert percuma kepada rakyat menggusarkan penyanyi ‘senior’, Datuk Zainal Abidin.
Membina legasi lebih empat dekad dalam industri muzik, Zainal yang cukup popular dengan lagu Hijau, berpendapat konsert percuma menjatuhkan nilai seseorang artis.
“Benar, konsert percuma meng- hilangkan nilai artis. Sekalipun peminat datang menonton konsert dengan membayar RM1 atau RM2, perkara itu masih menunjukkan artis ada nilai.
“Apabila disogok dengan konsert percuma, bermakna artis tidak akan ada nilai.
“Saya lihat sudah jadi tradisi di Malaysia di mana konsert percuma dianjurkan kerajaan hinggalah stesen televisyen,” katanya.
Tidak menafikan artis dibayar biarpun menjayakan konsert percuma, namun, Zainal menekankan rasa bangga terhadap nilai diri andai persembahan dijayakan pada acara berbayar.

“Namun, hakikatnya, ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielak. Walau macam mana sekalipun kita memperjuangkan konsert berbayar, kita tidak dapat elak konsert percuma.
“Semuanya kerana penggerak industri termasuk penganjur dan penaja ada wang dan mereka sanggup laburkan. Sebagai artis, tentunya konsert percuma akan membolehkan kami mendapat habuan setimpal.
amun, pada konsert berbayar, keghairahan itu bukan sekadar mendapat bayaran daripada jualan tiket semata-mata, sebaliknya, lebih kepada rasa bangga bahawa artis masih ada nilai,” katanya.
Namun, Zainal mula melihat konsert berbayar menjadi aliran dengan penyanyi nama besar seperti Anuar Zain, Ziana Zain, Datuk Hattan, kumpulan Search dan Aina Abdul mula mementaskan konsert masing-masing.
“Kita lihat peredaran zaman di mana ada konsert berbayar dan percuma… Ini dilihat seimbang.
“Bagi konsert berbayar, artis kena pastikan persembahan mereka berbaloi dengan bayaran dikenakan. Kita juga berharap peminat akan datang lagi menonton konsert artis pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai persembahan Konsert Setia Live Out Loud anjuran SP Setia di Setia Ecohill Walk, Semenyih pada 3 September depan, Zainal dijangka mendendangkan sembilan lagu popular termasuk secara medley.
Selain Zainal, konsert itu dijayakan Hael Husaini, Santesh, Nicholas Teo, Priscilla Abby dan kumpulan The15. Sementara itu, Zainal mengumumkan bakal mementaskan konsert solo dijangka pada Oktober atau November depan.
Tambahnya, konsert itu dirancang dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Saya rancang konsert menggunakan big band seperti dilakukan penyanyi antarabangsa, Michael Buble. Saya akan mempersembahkan lagu lama dengan susunan baharu dan segar.”
Zainal berkata, kelompok peminatnya sudah berusia, matang dan berjawatan tinggi.
“Saya yakin peminat saya mampu menonton konsert ini kerana mempunyai wang. Mereka tidak kisah melaburkan wang sekalipun harga tiket mahal.
“Namun, saya sediakan tiket murah untuk kelompok peminat baharu. Kebanyakan generasi baharu tidak tahu siapa Zainal Abidin. Mereka hanya tahu lagu dendangan saya,” katanya yang tidak lagi mencari populariti pada usia sekarang. – Agensi