Penyanyi Siti Nordiana bukan sahaja berjaya membuatkan peminat jatuh cinta sekali lagi dengannya malah menjentik emosi sepanjang berlangsungnya Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang berlangsung pada malam Sabtu.
Menurut mStar, pengalaman hampir tiga dekad sebagai penyanyi juga membuktikan Siti Nordiana atau Nana masih belum hilang taring malah ramai terpana dengan kemantapan vokalnya sepanjang dua jam konsert berlangsung.
Memulakan persembahan dengan Amaran, pemilihan lagu tersebut cukup kuat dalam membangkitkan mood berhibur 3,000 penonton yang membanjiri Zepp Kuala Lumpur.
Malah sebelum penyanyi berusia 40 tahun itu muncul di atas pentas, dewan bergema dengan jeritan peminat yang tidak sabar menantikan kemunculannya dan Nana berjaya mengekalkan momentum penonton sepanjang konsert berlangsung.
Setiap kali lampu di dalam dewan dimalapkan, ia akan diterangi dengan ‘lightstick’ yang memberi visual menarik terhadap konsert.

Nana yang membahaskan dirinya sebagai ‘mader’ (mother) cukup bijak melayan peminat yang hadir malah penyanyi itu tidak lekang menunjukkan gerakan jari ‘finger heart’ ke arah penonton.
Paling penting, kualiti vokalnya tidak menghampakan ketika menyampaikan 21 buah lagu khas buat penonton.
Pastinya, paling dinantikan peminat adalah lagu-lagu seperti Cinta Hanya Sandaran, Nisan Cinta, Hatiku Milikmu dan Bakawali yang membuai emosi.
Susunan muzik yang berkualiti daripada pengarah muzik iaitu Johan Shamsudin juga berjaya menjadikan setiap lagu dipersembahkan istimewa.
Selain Johan, antara pemuzik yang mengiringi persembahan Nana adalah Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal dan Paang. – Agensi