Menjanjikan fenomena tersendiri, penyanyi Stacy bakal mengadakan konsert solo yang diberi judul Aku Stacy di negeri kelahirannya Sabah pada 21 Jun ini.
Konsert anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 35, berkata, dia berasa teruja persembahan pada kali ini sangat berbeza berbanding apa yang pernah direncanakan sebelum ini, menurut laporan Kosmo Online.
“Dulu saya pernah membuat beberapa konsert solo anjuran pihak penganjur, termasuk konsert ‘DFP Presents Stacy’ dua tahun lalu, serta ‘album tour’ di Sabah untuk album pertama saya, ‘Aku Stacy’.
“Namun, apa yang membezakan Aku Stacy di tahun 2025 ini adalah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Jelas pelantun lagu Menyala itu, konsert kali ini bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muzik Stacy sejak awal kariernya.
“Saya menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemas dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll.
“Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat,” katanya lagi. – Agensi
