Wednesday, February 26, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsert Triad bukti Awie masih ampuh pada usia 57 tahun

    Jika diukur, agak mustahil untuk seseorang penyanyi yang sudah mencapai usia lebih separuh abad mampu beraksi agresif atas pentas selama tiga jam tanpa henti.

    Namun, itulah berlaku ketika menyaksikan Konsert Triad dijayakan Datuk Awie bersama tiga kumpulan rock, Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya, di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Menerusi konsert dibawakan oleh Rumah Produksi Merah, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman mampu membuktikan stamina masih ampuh dalam usia 57 tahun.

    Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan tenaga dan kemampuannya lebih hebat daripada sesetengah penyanyi muda.

    Untuk menjayakan konsert, bukan sedikit usaha dan pengorbanan dilakukan. Latihan intensif selama sembilan jam sehari di studio, nyata memberikan kelebihan buat vokalis
    Wings itu mengemudi konsert dengan sempurna, lapor mStar Online.

    Datuk Awie, penyanyi rock terkenal Malaysia. – mStar

    Penonton bukan sahaja teruja melihat keupayaan Awie menyanyikan rangkaian 25 lagu yang pernah dipopularkan tiga kumpulan, malah lebih dahsyat, kemampuannya melantunkan lagu bernada tinggi, sama ada genre slow rock mahupun rancak.

    “Awda adalah saksi utama membawakan konsert ini ke dalam senarai The Malaysia Book Of Records (MBOR). Kami perlukan doa awda untuk meneruskan konsert tanpa henti,” ungkap Awie sebelum memulakan persembahannya.

    Tirai konsert dibuka dengan persembahan lagu Wings, iaitu Puisi Merdeka, Sekeping Kertas Bermaruah, Jerangkung Dalam Almari, Romania, Awang Trasher, Taman Rashidah Utama dan Lipas Kudung.

    Ibarat pemanas badan, persembahan bertenaga dipamerkan Awie menyalurkan tenaga luar biasa kepada 2,400 penonton yang membanjiri lokasi.

    Adrenalin penonton semakin mengalir deras ketika segmen bersama Dragon Malaya bermula. Irama rancak seperti Rentap, Bumi Kita Ada Naga, Rock N Roll Ronda-Ronda, Mabuk Cinta, Kuda Tiga Kaki dan Maya, berjaya membuat penonton menyanyi dan menggoyangkan badan bersama.

    Bersama kumpulan dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C dan Paepula, Awie turut menyanyikan secara medley lagu Kau Yang Mula Dulu dan Dipenjara Janji.

    Momentum konsert penuh bertenaga diteruskan dengan persembahan bersama Search Kid Din, yang menjadi kumpulan terakhir untuk Konsert Triad.

    Sempat juga Awie menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Search terhadap muzik rock di Malaysia.

    “Search adalah yang pertama menebas rumput memberi laluan kepada semua rockers di Malaysia. Merekalah berusaha dan membuka jalan kepada semua pemuzik lain meneruskan perjuangan dalam muzik rock.

    “Bukan Din berseorangan, bukan Kid sahaja, malah anggota dahulu yang masih ada seperti Datuk Amy, Nasir Daud, Allahyarham Yazit, Man Kidal dan Hillary Ang. Bagi saya, mereka adalah The Father of Rock,” puji Awie disambut sorakan penonton. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda