Oleh Kurniawati Kamarudin
TAPIR Malaya atau Tapirus indicus adalah satu daripada empat spesies tapir di dunia yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Haiwan yang dilindungi sepenuhnya ini semakin berkurangan populasinya dan semakin membimbangkan apabila ia sering menjadi mangsa korban di jalan raya.
Hampir 14 bulan dalam kandungan ibunya, kelahiran Elly pada Januari 2018 sememangnya amat dinanti-nantikan terutamanya oleh pengurusan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor.
Ibu Elly, bernama Malar yang diambil dari Zoo Melaka dan bapanya, Boy dari Zoo Singapura dipasangkan sejak tahun 2004 di pusat konservasi ini bagi tujuan pembakaan.
Sebelum kelahiran Elly, pasangan tapir ini mempunyai seekor anak tapir jantan pada 2013 yang diberi nama Im tetapi kini berada di Nagasaki Bio Park di Jepun melalui Program Peminjaman Tapir untuk Konservasi.

Pada masa ini terdapat sembilan ekor tapir di PKHL dan jumlah ini dijangka berkurangan apabila tapir yang diselamatkan dan ditempatkan di pusat berkenaan untuk pemulihan dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Sentiasa dipantau
Tapir yang masih peringkat kecil seperti Elly dilahirkan dengan warna yang berbeza berbanding tapir dewasa yang berwarna hitam dan putih.
Badan Elly berwarna coklat berjalur kuning keperangan. Apabila usianya meningkat kepada lima bulan, warna itu akan pudar dan mula bertukar kepada hitam dan putih.
Pada usia kecil, Elly akan sentiasa bersama ibunya sehingga tidak menyusu lagi pada usia lebih setahun.
Tempoh kematangan seekor tapir adalah apabila ia mencapai usia dua hingga tiga tahun.
Menurut Zaiham Rizal bin Abdul Hamid, salah seorang daripada enam petugas di PKHL, semua tapir dijaga dan dipantau terutama dari segi pemakanan dan kesihatan haiwan berkenaan.
Pengalaman selama lapan tahun menjaga tapir menjadikan beliau cukup mahir dengan ragam dan sikap tapir yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
Rutin hariannya bermula seawal pukul 8 pagi dengan membersihkan kandang bagi memastikan ia sentiasa bersih dan bebas daripada bakteria yang boleh membawa penyakit.
Selepas itu baharu tapir diberikan makanan iaitu pucuk daun pada sebelah pagi manakala sebelah petang pula diberi makan buah-buahan seperti pisang, betik dan ubi keledek.
Setiap hari, makanan yang dihantar pihak kontraktor perlu ditimbang terlebih dahulu sebelum diberikan kepada setiap tapir bagi memastikan makanan itu mencukupi mengikut keperluan badannya.
Beliau memberitahu Bernama, setiap tapir hanya boleh diberikan 10 peratus sahaja makanan daripada berat badan untuk memastikan haiwan itu tidak menghidap obesiti.
Tambah beliau lagi, tapir boleh membesar sehingga seberat 300 hingga 500 kilogram dengan jangka hayat sehingga 30 tahun.
Ada nama sendiri
Selain pasangan Malar dan Boy, terdapat dua lagi pasangan tapir di PKHL juga bagi tujuan pembakaan iaitu Junior (jantan) dan Paradong (betina) serta Gadek (jantan) dan Bera (betina).
Junior dilahirkan di pusat konservasi ini pada tahun 2007 manakala pasangannya Paradong adalah tapir yang ditemui dan diselamatkan dari Kampung Paradong, Jelebu.
Gadek pula ditemui di Kampung Gadek, Melaka setelah ditinggalkan ibunya dan pasangannya Bera ditemui di sekitar Bera, Pahang. Setiap pasangan ini diletakkan bersama di dalam kandang masing-masing.
Biasanya tapir yang dimasukkan di PKHL akan diberi nama berdasarkan tempat ia diselamatkan. Hanya tapir yang dilahirkan di pusat konservasi sahaja diberikan nama mengikut kesesuaian, katanya.
Manakala dua ekor tapir liar, Semenyih (jantan) dan Bendul (betina) yang kedua-duanya diselamatkan di kawasan Semenyih, Selangor dan Ulu Bendul, Negeri Sembilan diasingkan namun kedua-duanya tidak dilepaskan ke habitat asalnya kerana masalah kesihatan.
Bendul mengalami katarak pada kedua-dua belah mata dan hampir buta manakala Semenyih pula mengalami kecederaan kaki yang serius akibat terkena jerat dawai di hutan.
“Kedua-duanya memerlukan pemerhatian yang rapi. Bendul dan Semenyih masih kekal di PKHL kerana kedua-duanya berisiko tinggi untuk cedera atau mati sekiranya dilepaskan ke habitatnya,” jelas Zaiham Rizal.
Semenyih yang diselamatkan pada tahun 2015 telah dua kali menjalani pembedahan pada kaki. Keaadannya kini sudah semakin pulih dan hanya menunggu kulit baru tumbuh menggantikan yang rosak.
Kebiasaan, pemantauan kesihatan tapir juga boleh dilihat pada keaktifan haiwan itu dan najis yang dikeluarkan setiap hari.
Sekiranya tapir tidak aktif dan hanya terbaring dengan najis dipenuhi cacing, pemantauan rapi akan dilakukan. Sekiranya bertambah serius, doktor haiwan akan dipanggil untuk melakukan pemeriksaan, katanya.


Bukan haiwan ganas
Tapir adalah haiwan yang suka bersendirian dan akan mempertahankan kawasannya.
Walaupun bukan haiwan yang ganas namun dalam keadaan terancam atau tertekan, tapir boleh bertindak agresif terutama pada musim mengawan atau ada pihak yang mengganggu anaknya yang baru lahir.
Menurut Zaiham Rizal, petugas tapir di pusat berkenaan pernah cedera di tangan hingga perlu dijahit akibat gigitan tapir.
Katanya, itu adalah cara tapir mempertahankan diri dengan menggunakan cengkaman yang kuat serta giginya yang tajam
Tapir mampu menyamar melalui warna kulitnya serta pandai berenang. Ia juga akan menanda kawasan miliknya di tempat ia membuang najis.
“Bila buang najis di satu tempat, esok dan seterusnya di situ juga tapir itu akan membuang najisnya. Ibarat tandas khasnya. Setiap tapir ada kawasan yang dipilihnya sendiri,” katanya sambil menambah tapir yang ditempatkan di PKHL juga dibiarkan bebas di kawasan keliaran berpagar yang disediakan.
Biasanya, kesemua sembilan ekor tapir itu akan keluar merayau-rayau di kawasan keliaran berpagar yang disediakan pada waktu petang dan malam iaitu waktu aktifnya.
Manakala pada waktu siang, tapir biasanya hanya akan berehat dan terbaring di kandang khas yang disediakan.
Program konservasi
Berkeluasan 4,340 hektar, konservasi tapir di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor yang diselia Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada asal pembukaanya pada tahun 1994 adalah pusat konservasi Badak Sumatera.
Bagaimanapun setelah habitat Badak Sumatera semakin pupus dari hutan di Malaysia, ia ditutup pada tahun 2000 dan dibuka semula pada tahun 2004 khusus untuk konservasi tapir.
Menurut Muhamad Bokhari Fadzin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Konservasi Biodiversiti (Tapir) Perhilitan, PKHL bukan sahaja menempatkan tapir yang diselamatkan tetapi juga tempat pembiakan serta penyelidikan.
Di samping itu, pusat konservasi itu juga mempunyai kemudahan pejabat, tempat kediaman pekerja, kandang kurungan tapir dan kawasan keliaran berpagar.
Tapir boleh membesar sehingga 2.5 meter panjang dan 1.1 meter tinggi dengan musim mengawan biasanya berlaku pada bulan April hingga Jun.
Tempoh kehamilan seekor tapir betina lebih kurang 14 hingga 16 bulan. Lazimnya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata dua tahun sekali.
“Populasi tapir yang semakin mengecil dibimbangi akan terus pupus sekiranya tidak diambil langkah segera dengan melakukan program konservasi seperti ini.
“Selain itu kita juga melakukan tinjauan di hutan. Jika kawasan habitat tapir di satu-satu kawasan itu semakin mengecil, kita akan tangkap haiwan itu dan melepaskannya ke habitat yang lebih besar,” jelasnya.
Sejak dibuka, sebanyak 61 ekor tapir ditempatkan di pusat konservasi ini dengan 12 ekor anak tapir dilahirkan dan 11 ekor daripadanya dilepaskan ke habitat semula jadi.
Di samping itu, tapir yang diselamatkan turut dihantar ke beberapa tempat melalui program peminjaman tapir.
Ada juga tapir yang diselamatkan mati atas pelbagai sebab antaranya kecederaan parah atau sakit.
“Apa yang penting kesedaran masyarakat untuk sama-sama menjaga dan memastikan tapir tidak menjadi mangsa pembunuhan sama ada di jalan raya ataupun terkena jerat. Tapir juga berhak untuk hidup di dalam habitatnya,” kata Muhammad Bokhari. – Bernama