Konsulat Iran dibakar lagi

BAGHDAD, 4 DIS – Penunjuk perasaan di Iraq bertindak membakar konsulat Iran di selatan Najaf untuk kali ketiga berturut-turut, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan semalam.

Sebelum ini konsulat itu pernah dibakar pada 28 November dan 1 Disember. Iraq digemparkan dengan protes besar-besaran sejak awal Oktober kerana penunjuk perasaan membantah keadaan kehidupan yang teruk dan amalan rasuah yang berleluasa.

Penunjuk perasaan menuntut kerajaan pimpinan Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi dibubarkan. Berikutan itu, Perdana Menteri menghantar surat peletakan jawatannya kepada parlimen dan diluluskan pada Ahad.

Menurut Suruhanjaya Tertinggi Hak Asasi Manusia Iraq, sekurang-kurangnya 346 penduduk terbunuh dan 15,000 lagi cedera sejak protes tercetus pada 1 Oktober. – Bernama

Penunjuk perasaan Iraq berkumpul di dataran Tahrir di ibu negara Baghdad, di tengah protes antikerajaan berterusan kelmarin. – AFP