Konsultasi bincang isu berkaitan tembakau

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dalam usaha untuk membantu masyarakat di negara ini menangani isu berkaitan dengan mengurangkan penggunaan tembakau, satu sesi konsultasi yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan telah diadakan.

Seramai 24 orang wakil daripada sektor kerajaan menghadiri Sesi Konsultasi BRUMAP-NCD 2021-2025, bagi hari ketiga di mana sesi berkenaan menumpukan perbincangan kepada penggunaan tembakau di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, pada sesi kali ini, Konsultan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Erica Reeve mengongsi hasil dapatan dari penilaian BRUMAP-NCD 2013-2018 dan saranan tindakan-tindakan bagi
menangani isu-isu yang berkaitan dengan pengurangan penggunaan tembakau.

Turut hadir dalam perbincangan berkenaan secara dalam talian ialah wakil dari Pejabat WHO di Rantau Pasifik Barat, Dr Lee Joung Eun.

Kenyataan menyatakan bahawa antara saranan yang telah dibincangkan bersama para peserta sesi konsultasi berkenaan ialah menangani kemasukan dan penjualan produk tembakau secara haram melalui meratifikasi protokol untuk menangani perdagangan haram produk tembakau dan menubuhkan jawatankuasa kebangsaan untuk menangani perdagangan haram produk tembakau.

Saranan lain yang dibincangkan adalah memperkukuhkan penguatkuasaan peraturan tembakau iaitu larangan merokok di tempat-tempat tertentu dan memperluaskan zon bebas asap rokok serta program berhenti merokok dan kempen media massa mengenai tembakau termasuk meningkatkan keberkesanan program berhenti merokok, memperkukuhkan lagi perkhidmatan klinik berhenti merokok serta melabur dalam program pemasaran sosial dengan mengadakan kempen media massa dan aktiviti-aktiviti pendidikan untuk menangani penggunaan tembakau di kalangan kanak-kanak dan belia serta juga mendorong para perokok untuk berhenti merokok.

Sesi penerangan dan perbincangan semasa Sesi Konsultasi BRUMAP-NCD 2021-2025 bagi hari ketiga, kelmarin. – Gambar serahan Pusat Promosi Kesihatan