Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontak rapat tidak perlu kuarantin

    LONDON, 7 JULAI – United Kingdom menetapkan individu yang sudah mendapat vaksinasi penuh, termasuk kanak-kanak, tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

    Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata hanya individu yang di-sahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin.

    Katanya, ketetapan itu berkuat kuasa mulai 16 Ogos ini. Beliau berkata kejayaan program imunisasi membolehkan sekatan dan peraturan kuarantin dimansuhkan bagi penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin.

    Pada Isnin, Perdana Menteri Boris Johnson menetapkan pelan untuk menamatkan sekatan sosial dan ekonomi susulan penularan COVID-19 di England, mulai 19 Julai. Langkah itu menjadi ujian sama ada program vaksinasi di England memberi perlindungan terhadap penularan varian Delta.

    Negara lain dalam gabungan UK, Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan peraturan kesihatan sendiri dan bergerak lebih perlahan.

    Johnson menjangka program vaksinasi yang berjaya melemahkan hubungan di antara jangkitan dan kemasukan ke hospital, boleh mengurangkan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di hospital.

    Javid yang baharu dilantik bulan lalu menggantikan Matt Hancock menggariskan kepentingan mengatasi masalah kesihatan, ekonomi dan cabaran pendidikan yang semakin meningkat akibat wabak itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda