PARIS, 20 JUN – Bekas pemain tenis wanita kedua dunia, Anett Kontaveit hari ini mengumumkan bahawa dia akan bersara pada Julai selepas Wimbledon kerana kecederaan belakang.
“Hari ini saya mengumumkan bahawa saya akan menamatkan karier saya sebagai atlet kompetitif,” tulis warga Estonia berusia 27 tahun itu di Instagram.
“Selepas beberapa lawatan doktor dan berunding dengan pasukan perubatan saya, saya telah dinasihatkan bahawa saya mengalami degenerasi cakera lumbar di belakang saya. Ini tidak membenarkan latihan berskala penuh atau persaingan berterusan. Oleh itu, adalah mustahil untuk meneruskan di peringkat teratas dalam bidang yang sangat kompetitif,” tulisnya.
Kontaveit, yang berada di tangga ke-79 dunia, mencapai ranking ke-2 WTA pada Jun 2022. Prestasi terbaiknya dalam acara Grand Sam ialah mencapai suku akhir di Terbuka Australia 2020.
“Tenis telah memberi dan mengajar saya banyak, dan saya sangat berterima kasih untuk itu,” tulisnya. “Adalah penting bagi saya untuk membawa bendera Estonia ke gelanggang tenis dan dapat bermain di hadapan penyokong dan peminat saya di seluruh dunia.”

Kontaveit membuat penampilan sulungnya dalam acara utama WTA di Miami pada 2013.
Dia memenangi enam kejohanan termasuk empat pada 2021. Gelaran terakhirnya ialah di St Petersburg pada 2022.
Sejak tewas dalam final di Tallinn Oktober lalu, dia tidak pernah melangkah lebih jauh daripada pusingan kedua dalam lapan kejohanan.
Dia akan bersara di Wimbledon, di mana dia tidak pernah mara melepasi pusingan ketiga.
Kejohanan itu akan bermula pada 3 Julai.
“Saya sudah bersedia untuk cabaran baharu selepas usaha terakhir saya sebagai pemain tenis profesional, untuk menikmati permainan dan bersaing sekuat mungkin di Wimbledon,” tulisnya. – AFP

