MANILA, 28 OKT – Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi Operasi Badai Taduh telah selamat tiba di Pangkalan Udara Col Jesus Villamor, Manila pada 27 Oktober jam 5:09 petang waktu tempatan.
Ketibaan pasukan tersebut dialu-alukan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan dan Jeneral Memerintah Tentera Udara Filipina, Leftenan Jeneral Stephen P Parreno TUF. Turut hadir Atase Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Leftenan Kolonel Suzana binti Haji Antin.
Pesawat Angkut C295MW TUDB telah melaksanakan bantuan logistik udara melalui satu siri penerbangan kargo hari ini dengan membawa bekalan dan bantuan kritikal dari Pangkalan Udara Col Jesus Villamor, Manila ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol, Republik Filipina.
Di samping itu, dua buah helikopter Blackhawk S70i TUDB yang pada awalnya dijadualkan akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol hari ini, terpaksa ditunda disebabkan oleh Ribut Tropika Leon.
Pusat Penyelarasan Multinasional (MNCC) Angkatan Tentera Filipina telah mengeluarkan amaran kaji cuaca dan semua jenis penerbangan terpaksa dibatalkan. Pesawat helikopter tersebut akan memainkan peranan penting dalam memperluaskan penghantaran bantuan ke kawasan terpencil yang sukar diakses.
Usaha berkenaan melambangkan jalinan yang erat dan komitmen bersama atas kerjasama dan sokongan serantau.
Ianya juga menekankan komitmen Kementerian Pertahanan untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat yang terjejas akibat bencana alam.