Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah selesai melaksanakan Operasi Badai Taduh Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Republik Filipina, dari 27 Oktober hingga 5 November susulan ribut tropika Kristine (Trami), dan selamat pulang ke tanah air, hari ini.
Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kuasa Usaha Kedutaan Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Atase Pertahan Angkatan Tentera Republik Filipina, para pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ahli-ahli keluarga anggota ABDB yang menyertai Operasi Badai Taduh.
ABDB telah menghantar dua pasukan yang terdiri daripada 37 anggota menggunakan tiga pesawat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) iaitu sebuah pesawat angkut C295MW dan dua helikopter Blackhawk S70i untuk melaksanakan bantuan logistik udara ke kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Sepanjang misi berkenaan, pasukan pertama di Manila melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut C295MW dari Pangkalan Udara Col Jesus Villamor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol untuk membawa kain-kain terpal, sementara pasukan kedua yang ditempatkan di Lapangan Terbang Lama Legazpi menghantar bekalan makanan ke kawasan terpencil menggunakan helikopter Blackhawk S70i.
Sebagai penghargaan atas sokongan Negara Brunei Darussalam kepada misi HADR bagi Taufan Kristine (Trami), kontinjen Negara Brunei Darussalam telah diberikan penghormatan dengan penganugerahan Pingat dan Reben Kepujian Ketua Turus AFP yang disampaikan oleh Panglima Tentera Udara Filipina, Leftenan Jeneral Stephen P. Parreno, pada sebuah majlis pengiktirafan dan penganugerahan pingat.
Misi Operasi Badai Taduh mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menyumbang kepada operasi bantuan kemanusiaan dan bencana alam di rantau ini, di samping mengiktiraf ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) dengan menyumbangkan aset dan kapasiti ketenteraan dalam menangani bencana alam.