BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Kontinjen Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Tripartite ke-8 dengan mengumpul 28 mata, selepas menjuarai acara bola jaring dan futsal.
Sementara itu, naib juara pula disandang oleh kontinjen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan 27 mata hasil kemenangan dalam acara badminton dan boling, manakala Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura menduduki tempat ketiga dengan 12 mata yang telah menjuarai acara bola tampar.
Acara selama dua hari yang berlangsung di Kompleks Sukan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Golden Bowling, Airport Mall pada 11 dan 12 November lalu anjuran BMR melibatkan penyertaan lebih 150 peserta dari BMR, SPRM dan CPIB dengan pelbagai acara sukan telah dianjurkan termasuk futsal, bola jaring, bola tampar, badminton dan boling.
Terdahulu, Pengarah BMR, Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani dalam ucapan alu-aluannya, semasa pembukaan rasmi Sukan Tripartite ke-8, menyatakan bahawa perhimpunan di antara tiga agensi itu bukan sahaja penerusan tradisi yang telah lama wujud, tetapi ianya mencerminkan perpaduan, persahabatan dan persefahaman BMR, SPRM dan CPIB.
“Tujuan penganjuran acara ini adalah untuk memupuk semangat persahabatan dan kerja berpasukan yang diharapkan dapat meningkatkan semangat yang lebih tinggi, kecekapan serta produktiviti dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah bersama sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang.
“Melalui acara ini, para kontinjen bukan sahaja sebagai pesaing tetapi sebagai rakan sepasukan dan sahabat yang mengingatkan bahawa memerangi rasuah juga adalah mengenai kerja berpasukan, ketahanan dan kepercayaan yang mana nilai-nilai tersebut perlu diterapkan dalam sukan persahabatan mahupun dalam bidang perlaksanaan tugas,” tambahnya.
Turut hadir, Pengarah CPIB, Sam Tee Chong Fui; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi bin Yahaya.
Sukan Tripartite merupakan acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir-gilir antara Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura. Pada tahun ini, BMR telah menjadi tuan rumah, meneruskan tradisi yang mencerminkan kerjasama erat dan berterusan di antara agensi-agensi berkenaan dalam memperkukuh jaringan serantau ke arah membanteras rasuah.
Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya telah diadakan di Dewan Riadah, Ibu Pejabat BMR, semalam.

