Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 26 OKT – Kontinjen Brunei yang terdiri daripada 15 pelumba bot laju dan kru daripada Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam (PBLBD), kelmarin telah menerima bendera kebangsaan di dalam satu majlis penyerahan bendera sebagai persediaan bagi menyertai acara Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2022 yang diadakan bersempena dengan Pesta Bintangor 2022.
Majlis berkenaan diadakan di kawasan Menara Cendera Kenangan, di mana Pemangku Pegawai Daerah Belait, Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, telah menyampaikan bendera kebangsaan kepada wakil dan Sekretariat Agung PBLBD, Hajah Siti Aisah binti Abdul Jalil.
Hajah Siti Aisah menjelaskan, sebanyak enam bot laju akan digunakan dalam kategori 30hp (2 piston) Tunnel Boat, 50hp (2 piston) Tunnel Boat, dan SST60 Pro Class Tunnel Boat. Tambahnya lagi, ini merupakan kali pertama PBLBD dapat menyertai acara peringkat antarabangsa sejak pandemik COVID-19.
Perlumbaan tersebut bakal diadakan selama dua hari dari 29 hingga 30 Oktober di sepanjang Sungai Rajang, Bintangor.
