Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen Brunei selamat kembali dari Sukan Borneo

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Chef de Mission iaitu Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly; ketua urus setia, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, kakitangan perubatan, lima jurulatih dan 25 atlet telah selamat kembali ke Negara Brunei Darussalam dengan menaiki pesawat C295 MW Tentera Udara Diraja Brunei selepas berada di Kuching, Sarawak bagi mengikuti temasya Sukan Borneo ke-6.

    Berada di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba, kelmarin, bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam, Encik Abdul Munir Lutfi Said; Timbalan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; para pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; persatuan-persatuan sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan penjaga.

    Majlis dimulakan dengan mengalu-alukan ketibaan kontinjen Negara Brunei Darussalam, diselajurkan dengan Pengiran Haji Mohd Hasnan mengalungkan sesandang tahniah kepada pemenang pingat dan diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan, Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim.

    Kontinjen tersebut telah berjaya meraih sebanyak 18 pingat iaitu 4 pingat emas, 7 pingat perak dan 7 pingat gangsa melalui sukan akuatik (renang), tarik tali dan olahraga.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan bergambar ramai dengan Kontinjen Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan Jabatan Belia dan Sukan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda