Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Belia Asia ke-3 2025, Manama, Bahrain yang akan berlangsung secara rasminya bermula 22 hingga 31 Oktober.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang dianggotai seramai 11 orang terdiri daripada lima orang atlet dan enam orang pegawai termasuk Chef de Mission, ketua urus setia, pegawai safeguarding atau pegawai urus setia, pengurus dan jurulatih.
Sehubungan itu, satu majlis penyerahan bendera negara kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Asia ke-3 2025, Manama, Bahrain telah diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).
Dalam sembah alu-aluannya, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyembahkan bahawa para atlet yang akan bertanding nanti sebagai wakil negara, bukan sahaja membawa harapan semua tetapi juga menjadi duta kecil yang memperkenalkan budaya, nilai dan identiti Negara Brunei Darussalam kepada dunia luar.



“Maka tanailah tanggungjawab ini dengan penuh amanah, dedikasi dan bermaruah,” tegas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.
Yang Berhormat Dato seterusnya menyarankan semua ahli kontinjen menjaga disiplin dan tingkah laku sepanjang berada di sana.
“Sentiasa memberikan kerjasama kepada semua pihak dan yang paling penting adalah hindari dan jauhkan diri daripada mengambil barang-barang atau ubat-ubatan yang terlarang yang boleh mengakibatkan atlet dikeluarkan atau digantung daripada bertanding sehingga mencemarkan nama baik negara,” tekannya lagi.
Kemuncak majlis ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Dayang Noorfairuzah Hani binti Haji Mohamad @ Haji Zaini selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Asia ke-3 2025, Manama, Bahrain.
Bagi Sukan Belia Asia ke-3, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak dua acara sukan iaitu sukan renang dan golf.
Tahun ini merupakan penyertaan negara kali ke-3 pada Sukan Belia Asia di mana penyertaan terakhir Negara Brunei Darussalam adalah pada 2013 di Sukan Belia Asia ke-2, Nanjing, China.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi pemilihan dan penilaian atlet kebangsaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta para ibu bapa dan penjaga atlet.

