Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kontinjen Brunei tampilkan identiti negara melalui persembahan kebudayaan

    Oleh Sim Y. H.  –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Negara Brunei Darussalam sekali lagi telah dipelawa bagi mengikuti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-48, yang merupakan Program Pertukaran Belia Antarabangsa dilaksanakan khusus untuk belia rantau ASEAN dan Jepun.

    Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam akan menghantar satu kontinjen seramai 15 orang belia dan seorang ketua kontinjen di mana program berkenaan akan menyaksikan penyertaan seramai 168 orang belia dari 11 buah negara.

    Program SSEAYP 2024 akan berjalan selama 38 hari dari 4 November hingga 11 Disember iaitu bermula dari Tokyo, Jepun dan akan singgah di beberapa buah negara ASEAN iaitu Vietnam dan Indonesia sebelum kembali ke Tokyo.

    Peserta program akan mengikuti aktiviti-aktiviti yang disusun oleh negara-negara disinggahi termasuk majlis selamat datang, aktiviti tinggal bersama keluarga angkat dan lawatan sambil belajar.

    Salah satu pengisian Program SSEAYP adalah mengehendaki setiap kontinjen untuk membuat persembahan kebudayaan sebagai salah satu saluran bagi memperkenalkan identiti dan kebudayaan negara masing-masing.

    Haji Mohamad Rosfazilah menyampaikan tanda penghargaan kepada penaja. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara persembahan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sehubungan dengan itu, satu pratonton Persembahan Kebudayaan Kebangsaan telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Acara itu mengetengahkan persembahan yang akan dipersembahkan oleh kontinjen negara semasa majlis-majlis resepsi di negara-negara tempat persinggahan dan juga sebagai aktiviti pengenalan negara di atas Kapal Nippon Maru yang akan digunakan sepanjang pelayaran di lautan.

    Hadir bagi menyaksikan pratonton berkenaan ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.

    Antara persembahan kebudayaan yang telah disediakan termasuk Warisan Satu Anugerah, Adai-adai, Dundang Beranyut, Joget Hati Tertawan dan Silat Melayu.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Ketua Belia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP ke-48, Awang Mohammad Azid bin Haji Mohamed Sambas dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam iaitu Pegawai Belia dan Sukan, Awang Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah Shah.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada penaja-penaja yang memberikan sokongan dan tajaan kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP 2024.

    Majlis turut menyaksikan tayangan video pengenalan kontinjen serta persembahan Cheers dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Haji Mohamad Rosfazilah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda